Gambar Hiasan |
KUANTAN – Polis menahan dua lelaki tempatan dan 12 wanita warga
Thailand yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di
sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad 3 di sini awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Pahang, Pemangku SAC Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil
maklumat orang awam pihaknya membuat serbuan ke atas premis tersebut
pada pukul 12.50 pagi.
“Berdasarkan maklumat awal, restoran ini berkonsepkan sebuah pusat
hiburan yang didapati tiada lesen hiburan dan menggaji wanita asing
tanpa permit kerja.
“Semasa serbuan, semua wanita terbabit sedang leka melayan pelanggan
tanpa menyedari kehadiran sepasukan anggota polis di dalam premis
berkenaan.
“Siasatan awal mendapati 12 wanita berusia lingkungan 25 hingga 35
tahun itu juga dipercayai menyalah gunakan pas lawatan sosial sebelum
melakukan kegiatan tidak bermoral di premis tersebut,” katanya hari ini.
Beliau berkata, dua lelaki tempatan berusia 40an yang dipercayai bekerja di premis itu turut ditahan.
Katanya, kesemua wanita asing itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen
39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan pas
lawatan. – BERNAMA