16 Tahun Diperlekeh Buat Isteri Bencikan Mertua

Saya sudah berkahwin selama 16 tahun tetapi hidup saya amat tertekan kerana perasaan benci terhadap ibu mentua dan marah kepada suami saya. Dari awal berkahwin sehingga sekarang, ibu mentua suka memperlekeh dan menghina saya.
Contohnya, ibu mentua kata orang gaji rumah jiran memberitahu rumah orang tua saya sangat buruk walhal rumah itu baru diubahsuai. Beberapa minggu lepas, dia mengatakan perkara yang sama. Rumah orang tua saya adalah banglo di Bangsar. Teruk sangatkah rumah di kawasan itu?
Sepanjang tempoh perkahwinan, banyak kali saya dihina dan dijatuhkan air muka. Saya berkahwin dengan suami kerana dia beritahu dia cucu tok imam. Saya hendak hidup sebagai seorang yang beriman tetapi saya tengok keluarga suami saya selalu bergaduh sesama sendiri, materialistik dan suka menghina orang lain. Jika perkara ini berlarutan, saya hendak minta cerai kerana saya mahu bahagia.

- Tijah, Bangsar.


UKE: Kadang-kadang orang tua, pemikiran mereka lain daripada kita. Oleh itu, jangan harap mereka memahami kita sepenuhnya. Kalau anda nak senang, anda cuba memahami mereka seperti apa yang mereka suka dan tidak suka, apa pantang bagi mereka dan apa yang boleh menarik hati mereka. 

Banyakkan bersabar dan elakkan membuat sesuatu yang menjadikan mereka boleh mengutuk kita. Jika semuanya tidak kena sehingga anda ingin bercerai, soalannya pula adakah suami anda selama ini gagal menjalankan tangungjawabnya?

Jika dia tidak ada masalah, maka apa sebab untuk bercerai sebab mentua bukan suami anda. Jika kedua-duanya menjadikan rumah tangga tidak lagi bahagia, maka anda ada hak untuk minta cerai. Apapun silalah ke unit kaunseling untuk bantuan. 

Memang perkahwinan untuk bahagia. Apapun, keputusan di tangan anda. Buatlah solat istikharah, insya-Allah petunjuk Allah membantu anda.

Sumber: Utusan