1MDB: Arul Jawab Tun M, Dedah Perincian Hutang RM42 Bilion Digunakan

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy
KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah mengeluarkan butiran terperinci bagaimana hutang RM42 bilion yang dikumpul oleh dana strategik negara itu digunakan, bertentangan spekulasi dan kritikan bahawa wang itu didakwa 'hilang' atau 'lesap'.

Hutang itu digunakan untuk membeli aset-aset tenaga dan tanah, perbelanjaan kewangan, deposit dalam dana pelaburan dan meninggalkan lebihan tunai sebanyak RM0.9 bilion, kesemuanya berjumlah RM41.8 bilion, kata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam satu pertanyaan.

Beliau berkata maklumat mengenai penggunaan hutang itu dinyatakan dalam akaun awam dan diaudit dari 31 Mac 2010 hingga 31 Mac, 2014.

Menurutnya RM18 bilion digunakan untuk membeli aset tenaga seperti Powertek Energy Sdn Bhd (RM8.5 bilion), Loji Tenaga Kuala Langat (RM2.3 bilion), Jimah Energy (RM1.2 bilion) manakala bakinya RM6.0 bilion merupakan hutang yang diwarisi," kata Arul Kanda.

1MDB membelanjakan RM0.2 bilion untuk membeli tanah TRX, RM0.4 bilion untuk Bandar Malaysia dan RM1.1 bilion untuk tanah di Air Hitam Pulau Pinang.

Bagi perbelanjaan kewangan berjumlah RM5.8 bilion, RM4.5 bilion digunakan untuk kos pembiayaan dan modal kerja, RM0.9 bilion untuk kos tukaran asing dan cukai berjumlah RM0.4 bilion.

1MDB juga mendepositkan RM15.4 bilion untuk dana pelaburan seperti Brazen Sky (RM6.1 bilion) Aabar deposit (RM4.2 bilion) dan 1MDB Gil Find (RM5.1 bilion).

"Sejak kebelakangan ini, banyak spekulasi dibuat mengenai penggunaan RM42 bilion hutang yang dikumpul oleh 1MDB, dan lebih spesifik lagi, bahawa RM27 bilion keuntungan hutang didakwa 'hilang' atau 'lesap'.

"Kami yakin penjelasan ini akan membantu membetulkan sebarang kekeliruan mengenai isu ini," kata Arul Kanda. -Bernama