1MDB: Kenapa Tiba-Tiba PetroSaudi Mohon Maaf..?

SECARA jujur belum pernah dalam sejarah sebuah syarikat gergasi antarabangsa sanggup merendah diri memohon maaf jika terkhilaf ke atas mana-mana pihak yang terjejas teruk ekoran tindakan mereka selama ini.

Jika ada pun, budaya ini cuma popular di Jepun dan Korea Selatan; contoh terkini pada 23 Jun, pewaris firma global Samsung tampil minta maaf kerana premis syarikat itu di Seoul jadi punca wabak maut MERS merebak.

Namun pada tarikh sama, syarikat teroka cari gali minyak terkenal, PetroSaudi International Ltd. menggemparkan dunia apabila secara terbuka memohon maaf kepada sebuah negara nun jauh di rantau Asia tenggara: Malaysia!

Berbeza dengan Samsung meminta maaf hanya untuk rakyat negara kimchi itu kerana penularan MERS, firma ditubuhkan jutawan Tarek Essam Ahmad Obaid ada 2005 itu memohon maaf bukan kerana masalah isu minyak.

Sebaliknya jurucakap PetroSaudi berpusat di Riyadh, ibu kota Arab Saudi dalam kenyataan media secara terbuka meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia ekoran fitnah ditimbulkan bekas pegawainya, Xavier Andre Justo.


Warga Switzerland itu berjaya ditangkap pasukan Polis Diraja Thailand di rumahnya sendiri di negara tersebut selepas melarikan diri setelah dipecat PetroSaudi atas dakwaan jenayah cubaan memeras ugut bekas syarikatnya.

Ini kali kedua syarikat itu ‘mempopularkan’ nama Malaysia di mata dunia selepas mempertahankan kerajaan Malaysia pada Mac lalu dalam isu pelaburan melibatkan firma strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ironi, berita gembira tersebut tidak pula disambut dengan penuh kesyukuran oleh media propembangkang di negara kita khasnya portal maya mereka yang selama ini begitu ghairah memfitnah 1MDB sepuas-puasnya.

Tanpa disedari rupa-rupanya kita selama in sudah lama termakan hasutan fitnah portal anti-BN dengan cuma bersumberkan maklumat palsu Justo demi menjatuhkan kerajaan demokratik yang dipilih oleh rakyat Malaysia.

Ketika media Thailand memperbesarkan berita kejayaan pasukan polis mencekup Justo dan pendedahan latar belakang suspek sebagai dalang fitnah 1MDB, portal pembangkang di Malaysia lebih selesa ‘senyap sunyi’ pula.


Mungkin sama ada malu bukan kepalang kerana terbongkar mereka selama ini menyebar berita fitnah ke atas 1MDB, atau barang kali cuba mencari akal apa pula lagi tajuk baharu lain bagi menutup pembohongan mereka.

Bayangkanlah, kenyataan media PetroSaudi yang mendedahkan maklumat Justo sengaja ditokok tambah oleh blog politik Sarawak Report bagi memfitnah 1MDB, langsung tidak dinyatakan pula semua portal propembangkang.

Padahal itulah berita paling hangat dan wajib jadi tajuk utama oleh mereka, tetapi malangnya tidak. Adakah secara kebetulan disengajakan, atau terlupa atau memang buat-buat lupa bagi memastikan rakyat terpedaya sekali lagi.

Jangan terkejut ketika rakyat Malaysia gembira dengan penangkapan Justo, pihak-pihak yang sebelum ini begitu rancak memfitnah 1MDB dengan hanya merujuk kepada Sarawak Report akan buat spin atau helah baharu.

Mereka ini sekali lagi akan berlagak lebih pakar daripada Jabatan Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Awam Parlimen dan Bank Negara Malaysia yang kini masih melakukan penyiasatan terperinci dana pelaburan 1MDB.

Hakikatnya penahanan Justo secara tidak langsung mendedahkan bahawa selama ini portal propembangkang jelas tidak bertanggungjawab tanpa peduli facts and figures asalkan matlamat hasut rakyat tercapai.