1MDB Perbetul Fakta Tun M Di Blog?

KUALA LUMPUR – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini menafikan pelbagai dakwaan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dalam blognya yang bertajuk ‘The 1MDB Story’ dan ‘More Investments By 1MDB.’

Antara lain, isu membabitkan wang Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), pembelian tanah serta usaha sama dengan PetroSaudi selain RM2 bilion yang dikatakan dipinjam daripada jutawan Ananda Krishnan.

“Tidak berlaku cubaan untuk ‘merampas’ wang TIA,” kata 1MDB dalam satu kenyataan Selasa.

Pada 2009, pelbagai perbincangan berlangsung antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu mengenai sumbangan setiap pihak sebagai pembiayaan untuk TIA, dengan pelbagai pilihan dibincangkan, katanya.

Akhirnya, sumbangan Kerajaan Persekutuan membabitkan jaminan terbitan Sukuk RM5 bilion Sukuk oleh TIA, yang dilaksanakan pada 29 Mei, 2009, sebelum TIA dijadikan badan milik Kerajaan Persekutuan.

“Susulan itu, kerajaan negeri Terengganu memutuskan untuk menarik diri daripada TIA, yang menjurus kepada entiti itu menjadi milik Kerajaan Persekutuan pada Julai 2009.”

Bertentangan dakwaan bahawa tiada kertas kabinet dibentangkan mengenai terbitan Sukuk terbabit, 1MDB berkata kertas Kabinet mengenai perkara itu disediakan dan diluluskan oleh Kabinet, selari dengan amalan standard, sama seperti semua jaminan lain kerajaan.

“Tambahan pula, jaminan kerajaan bukannya ‘off-budget’ seperti didakwa. Ia merupakan liabiliti yang jelas dan diperakui Kerajaan Persekutuan, yang memegang 100 peratus kepentingan 1MDB,” katanya.

Mengenai dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa semua orang mengetahui Ananda Krishnan perlu menyediakan RM2 bilion untuk membayar faedah, syarikat pembangunan strategik itu berkata, 1MDB memang meminjam wang RM2 bilion yang diurus oleh anak syarikat Tanjong PLC, yang digunakan untuk membayar pinjaman RM2 bilion yang disediakan oleh sebuah sindiket peminjam dalam negara.

1MDB berkata ia membayar RM230 juta, bukan RM320 juta untuk membeli tanah berkenaan.

Ia menegaskan bahawa 1MDB merupakan syarikat 100 peratus milik kerajaan dan oleh itu, sebarang pemindahan tanah kepada 1MDB dan seterusnya akan memberikan manfaat dari segi peningkatan nilai tanah 100 peratus untuk kerajaan.

“Kos infrastruktur yang dipertanggungjawabkan kepada 1MDB untuk menyiapkan
Tun Razak Exchange sekurang-kurangnya RM1,500 sekaki persegi. Ini memberi faedah langsung kepada pembeli dan merupakan sebahagian daripada harga pembayaran.”

Mengenai dakwaan bahawa ‘PetroSaudi tidak membayar ‘satu sen pun’ dalam usaha sama dengan 1MDB, ia berkata PetroSaudi, menerusi anak syarikatnya, memiliki aset membabitkan hak ke atas medan minyak di Turkmenistan dan Argentina, bernilai kira-kira US$2.7 bilion.

Aset-aset ini dijual oleh PetroSaudi kepada anak syarikat yang lain ‘Joint Venture Company,’ yang pada masa aset dijual, merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh/dan pada asalnya 100 peratus milik PetroSaudi bagi memenuhi tujuan melaksanakan cadangan usaha sama dengan 1MDB.

Sebagai pulangan kepada pemindahan aset bernilai US$2.7 bilion, Joint Venture Company perlu membayar sejumlah US$700 juta kepada PetroSaudi. Hutang ini wujud daripada pemindahan aset. Dan tidak ada pinjaman dibuat atau “perlu dilangsaikan’.

Pada 29 Sept, 2009, 1MDB melaksanakan perjanjian usaha sama dengan PetroSaudi.

Selepas penilaian bebas diselesaikan, 1MDB menyumbang US$1 bilion dalam bentuk tunai, sebagai pulangan ke atas 40 peratus pemilikannya dalam Joint Venture Company, dan PetroSaudi menguasai baki 60 peratus kepentingan dalam Joint Venture Company.

Sumbangan 1MDB adalah dalam bentuk tunai, dengan sumbangan aset PetroSaudi yang dinilai secara bebas berjumlah US$2.7 bilion, kata 1MDB.

Menurut 1MDB, ia merupakan sebahagian daripada perjanjian usaha sama, dengan US$1 bilion daripada 1MDB, US$700 juta akan digunakan untuk membayar PetroSaudi atas pemindahan aset awal kepada Joint Venture Company dengan US$300 juta lagi kekal dalam Joint Venture Company.

Setelah berpuas hati terhadap penilaian bebas itu, mengikut perjanjian usaha sama berkenaan, 1MDB membuat bayaran US$700 juta kepada anak syarikat PetroSaudi, dan memperoleh hak sah ke atas 40 peratus saham Joint Venture Company, sebuah syarikat bebas dengan aset bernilai US$2.7 bilion pada masa itu.

Menurutnya, PetroSaudi mempunyai hak penuh ke atas US$700 juta yang dibayar oleh 1MDB dan dana ini adalah untuk kegunaan PetroSaudi, mengikut budi bicaranya. – BERNAMA