2 Mangsa Gempa Bumi Warga Singapura Ditemui

Dua mayat mangsa gempa bumi berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat di Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU – Polis Sabah mengesahkan dua mangsa warga Singapura yang dilaporkan hilang dalam gempa bumi di Ranau pada Jumaat lalu telah ditemui berdasarkan pengecaman cebisan mayat yang dilakukan oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, daripada cebisan yang ditemui di Gunung Kinabalu itu, ia ditandakan satu persatu dengan kerjasama daripada DVI Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata, daripada DVI itu polis mengesahkan ia adalah milik kepada mangsa yang hilang iaitu Navdeep Singh Jayrol s/o Raj Kumar, 13, dan Mohamad Ghazi Mohammed, 35.

“Cuma cebisan mayat itu tidak boleh diserahkan lagi sehingga kami buat DNA. Keluarga mangsa telah pun menghantar sample darah, lemak daripada kakak, adik ke Hospital Queen. Kami telah menghantar kepada Jabatan Kimia untuk mendapat pengesahan sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya operasi mencari dan menyelamat dalam Op Gempa yang bermula pada 5 Jun lalu ditamatkan hari ini berikutan penemuan itu namun pusat operasi akan dibuka semula sekiranya berlaku gegaran.

Jalaluddin berkata, jumlah mangsa gempa bumi sehingga hari ini adalah 18 orang dan daripada jumlah itu – Singapura (10), Malaysia (enam), Jepun (satu) dan China (satu).

Beliau berkata, 14 daripada mayat itu sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada anggota keluarga masing-masing manakala dua mayat warga Jepun dan China belum dibedah siasat.

“Kedua-dua mayat itu akan dibedah siasat apabila keluarga mangsa sampai, yang dijangka tiba hari ini,” katanya.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu merupakan gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini. – BERNAMA