21 Jenazah Pelarian Rohingya Dikebumi Hari Ini - Mukhriz

PENDANG - Jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai pendatang Rohingya dari Myanmar yang ditemui di kem tahanan Bukit Wang Burma, Wang Kelian akan dikebumikan di tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang, Pokok Sena, hari ini.
 
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata 21 jenazah itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad berikutan selesainya proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
 
"Kesemua jenazah tersebut merupakan daripada kumpulan pertama yang ditemui di tempat kejadian," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama warga pondok Al-Fathoni di Kobah di sini, kelmarin.
 
Katanya upacara pengkebumian itu akan diuruskan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah (Jaik) dan semua kos pengkebumian ditanggung oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 
"Baki 85 jenazah lagi akan dikebumikan secara berperingkat-peringkat selepas proses bedah siasat di HSB selesai," katanya.
 
Menurut Mukhriz majlis pengkebumian itu dijangka bermula pada 10 pagi esok dan beliau akan turut serta pada majlis tahlil selepas proses pengkebumian itu selesai.
 
Pada 25 Mei lepas pasukan Polis menemui lebih 100 rangka manusia mangsa aktiviti pemerdagangan manusia oleh sindiket dalam kubur di kem tahanan sementara di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.
 
Rangka tersebut kemudiannya dibawa ke HSB untuk ujian patologi. -Bernama