KANGAR – Sebanyak 240 syarikat yang mencatat nilai jualan tahunan
melebihi RM5 juta telah mengemukakan penyata bulanan kepada Jabatan
Kastam Perlis sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan 1
April lepas.
Pengarahnya, Datuk Mohd Pudzi Man berkata, hanya tiga syarikat masih
gagal mengemukakan penyata jualan daripada 1,536 syarikat yang mendaftar
untuk GST.
Katanya, syarikat yang mencatat nilai jualan lebih RM5 juta setahun
diwajibkan mengemukakan penyata setiap bulan dan yang kurang daripada
nilai itu setiap tiga bulan.
“Secara umum 98.7 peratus syarikat yang mendaftar untuk GST telah
mengemukakan penyata, iaitu yang tertinggi di negara ini,” katanya
kepada pemberita selepas merasmikan ‘Program GST Bersama Pelanggan’ di
ibu pejabat jabatan itu di sini, hari ini.
Menurut Mohd Pudzi, jabatannya memberi tumpuan untuk membantu
pelanggan mengisi penyata GST dan bukan menghukum melalui tindakan
mahkamah.
Katanya, tahap pemahaman pengurusan syarikat mengenai GST adalah tinggi walaupun segelintir masih keliru.
Antara sebab, katanya, orang yang mengisi penyata itu tidak menyertai kursus atau mendengar taklimat mengenai sistem cukai itu.
“Program ini khusus bagi membantu mereka cara menyimpan rekod dan
mengisi penyata bagi melicinkan pengauditan,” katanya yang menambah
lebih 120 program penerangan GST diadakan sehingga 31 Mac lepas.
Mohd Pudzi agak terkejut dengan kehadiran lebih 200 orang pada
program itu dan beliau tidak menafikan segelintir pengurusan syarikat
bersikap sambil lewa dan mendapatkan bantuan pihaknya di saat akhir
apabila menghadapi masalah. – BERNAMA