Anak-anak sentiasa menjaga keperluan Zaharah. |
GURUN - Seorang ibu tunggal bukan sahaja terpaksa menghabiskan masa
atas kerusi roda, malah terpaksa bergantung harap kepada tiga anak
perempuan yang masih kecil untuk membantu menguruskan kehidupannya.
Zaharah Mohd Nor, 37, dari Taman Ria Mesra II, Gurun, mengidap penyakit
saraf sejak melahirkan anak kedua kira-kira 11 tahun lalu.
Penyakitnya masih berlarutan biarpun selepas melahirkan anak ketiganya, setahun kemudian.
Saban hari, Zaharah hanya menghabiskan masa di atas kerusi roda
sementara menunggu ketiga-tiga anaknya, Nur Shuhada Ishak, 14; Nurina,
11, dan Nurani, 10, pulang dari sekolah untuk menguruskannya.
Menurutnya, dia bertuah memiliki anak-anak yang tidak banyak kerenah,
malah sentiasa menitikberatkan kebajikan dirinya biarpun masing-masing
mempunyai tanggungjawab terhadap pelajaran.
“Saya sentiasa berpesan supaya mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
"Malah, setakat ini saya amat berpuas hati dengan sikap dan pencapaian mereka,” katanya.
Difahamkan, dia dan suami berpisah kira-kira lima tahun lalu.
Sementara itu, Nurina berkata, setiap pagi, dia akan bangun kira-kira jam 6 pagi untuk mandi dan menyiapkan ibunya.
"Saya juga akan sediakan minuman untuk ibu sebelum bersiap ke sekolah, sementara kakak akan beli nasi lemak untuk ibu.
"Itulah rutin harian kami adik-beradik. Setiap dari kami ada tugas masing-masing dalam menguruskan ibu dan rumah," katanya.
Pengawas Sekolah Kebangsaan Batu 4, Jalan Jeniang itu berkata, mereka bertiga sentiasa memastikan keperluan ibu terjaga.
"Pada masa sama, kami juga akan pastikan pelajaran di sekolah tidak terabai," katanya.
Menurut Nur Shuhada, mereka sekeluarga bergantung harap kepada wang
bantuan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membayar
bil dan membeli barang keperluan harian.
"Kami sudah tahu tugas masing-masing untuk siapkan ibu, mandi dan
sediakan sarapan sama ada masak atau beli sebelum van sekolah sampai
kira-kira jam 6.35 pagi.
"Balik sekolah, saya akan masak nasi dan lauk untuk makan sama-sama.
Manakala adik akan buat kerja rumah seperti menyapu, bersihkan bilik dan
lain-lain lagi," katanya.
Orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada keluarga ini boleh
menyalurkannya menerusi akaun Bank Rakyat Nur Shuhada Ishak
(22-065-137485-2).
Sumber: Sinar Harian