PEKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mengumumkan perkhabaran gembira kepada 32,238 pekebun kecil Risda,
antaranya pemberian durian runtuh dividen bernilai RM151.1 juta.
Agihan dividen itu berjumlah RM43.9 juta kepada sebanyak 16,080
peserta Rancangan Tanah Baru Kelompok (RTBB) dan RM107.2 juta kepada
16,158 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).
“Saya harap pemberian dividen ini dapat membolehkan kita lebih selesa
untuk sama-sama sambut Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya ketika
majlis penyampaian dividen Risda 2015 di Dewan Seri Perdana Kolej
Automotif Antarabangsa (Icam) di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk
Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar
Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Datuk Shafik Fauzan
Sharif.
Najib berkata kerajaan sentiasa komited dalam membantu meningkatkan
pendapatan bulanan serta menaik taraf hidup pekebun kecil yang merupakan
kelompok B40 yang memperoleh berpendapatan bulanan purata kira-kira
RM2,500.
Katanya ini ditambah lagi dengan kejatuhan harga komoditi getah dan
kelapa sawit dalam pasaran dunia pada masa kini berikutan kelembapan
pertumbuhan ekonomi dunia.
Berikutan itu juga, kata perdana menteri, kerajaan mengadakan
kerjasama erat dengan negara pengeluar untuk meningkatkan nilai eksport
dan memastikan pekebun kecil melaksanakan amalan pertanian baik untuk
menambah hasil pengeluaran.
Dalam majlis itu, Najib turut meluluskan Skim Khairat Kematian
Pekebun Kecil Risda bernilai RM5.24 juta kepada semua pekebun kecil
getah dan sawit yang berdaftar dengan Risda.
Beliau berkata skim itu bertujuan menjaga kebajikan pekebun kecil
serta meringankan bebanan mereka apabila berlaku kematian akibat
kemalangan dan sakit.
Pada majlis itu, perdana menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk dana permulaan Yayasan Risda.
Beliau berkata penubuhan yayasan itu bagi menyalurkan bantuan atau
kemudahan untuk aktiviti pendidikan, sukan, sosial dan kebajikan pekebun
kecil, keluarga dan kakitangan agensi itu serta syarikat milikannya.
“Kita akan menambah peruntukan kepada yayasan ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata kerajaan dapat menampung kekurangan
hasil negara ekoran penurunan harga minyak dan gas dengan hasil yang
diperoleh menerusi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Ini antara sebabnya kerajaan laksanakan GST, bukan tujuan untuk
susahkan rakyat tetapi sebenarnya untuk kebaikan dan kebaikan itu orang
tidak nampak, malah lempar pelbagai tuduhan,” katanya. – BERNAMA