$500 Bilion Tidak Cukup Untuk Beli Satu Tin Susu!

HARARE - Rakyat Zimbabwe dibenarkan menukar mata wang tempatan sehingga 'quadrilion' kepada Dolar Amerika Syarikat (AS$) ekoran kejatuhan nilai mata wang negara itu.

Langkah tersebut diambil sebagai salah satu usaha menghentikan penggunaan nilai mata wang negara tersebut.


Negara Afrika itu mula menggunakan nilai mata wang AS$ dan Rand selepas nilai mata wang Zimbabwe terjejas akibat inflasi teruk yang jatuh sebanyak 500 bilion peratus pada 2008.

Semasa kejatuhan ekonomi negara itu pada 2008, rakyat Zimbabwe terpaksa membawa beg plastik yang dipenuhi dengan wang untuk membeli barangan keperluan seperti roti dan susu dan harga barangan yang turut meningkat sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Gabenor Reserve Bank of Zimbabwe, John Mangudya menjelaskan, para pelanggan yang masih memiliki akaun Dolar Zimbabwe boleh berkunjung ke bank-bank berdekatan untuk menukar baki wang mereka kepada AS$ bermula Isnin.

Rakyat negara itu diberi masa sehingga September untuk membuat penukaran wang kertas Zimbabwe yang kadang kala dijual kepada pelancong sebagai cenderamata.

Baki akaun bank yang berjumlah 175 quadrilion Dolar Zimbabwe akan dibayar sebanyak AS$5 manakala mereka yang mempunyai baki akaun melebihi 175 quadrilion pula akan dibayar dengan AS$1 Dolar AS bagi setiap 35 quadrilion Dolar Zimbabwe.

Nilai wang kertas tertinggi yang dicetak kali terakhir pada 2008 adalah berjumlah 100 trilion Dolar Zimbabwe tetapi jumlah tersebut tidak mencukupi untuk membayar tambang bas selama seminggu.

Pihak bank menjelaskan, para pelanggan yang mempunyai wang kertas Zimbabwe boleh mengunjungi mana-mana bank di situ dan mendapat AS$1 bagi setiap 250 trilion Dolar Zimbabwe yang ditukar.

Ini bermakna orang ramai yang memiliki wang kertas 100 trilion akan menerima 40 sen apabila membuat penukaran.

Pihak bank dilaporkan telah memperuntukkan AS$20 juta untuk membayar pemegang mata wang Dolar Zimbabwe yang membuat penukaran.

Sumber: mStar