Buat penjawat awam, saat menjelangnya Hari Raya Aidilfitri pada
pertengahan bulan hadapan akan menjadi waktu paling gembira kerana
mengikut kalendar yang dikeluarkan RHS Media Resources, gaji bakal
dilepaskan ke akaun masing-masing pada tanggal 9 Julai, kurang seminggu
sebelum 1 Syawal.
Amboi, sampai ke telinga senyum, kan? Mana taknya, ruang antara
pembayaran gaji pada 25 hari bulan Jun hingga tanggal 9 Julai cuma
berbeza 14 hari!
Tapi saranan kami, janganlah terlalu seronok sangat dengan perkhabaran
tersebut kerana yang pastinya, detik-detik yang perlu diharungi selepas
tarikh tersebut amatlah perit lagi memedihkan.
Bolehkah anda bayangkan, kehidupan anda perlu bergantung kepada gaji
tersebut selama 56 hari sebelum akaun anda kembali terisi dengan gaji
bulan berikutnya iaitu pada penghujung Ogos?
Nah, telan air liur, kan? Tapi itulah realiti yang harus dihadam semua penjawat awam.
Mungkin bagi kebanyakan individu akan merasa lega kerana persiapan
Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dapat dibuat lebih lengkap;
nak beli persalinan serba baru, pelbagai juadah dan duit raya untuk ahli
keluarga.
Namun, dalam bergembira, anda seharusnya lebih mengutamakan cara
berbelanja dengan bijak bagi mengelakkan kewangan anda terumbang-ambing
selepas itu.
Nak tahu apa yang patut dilakukan?
Mudah sahaja, mulai sekarang,
penjawat awam boleh mula membuat simpanan dan menjimatkan perbelanjaan
harian, sementelah tugas itu menjadi mudah kerana mulai esok, umat Islam
akan menyambut bulan Ramadan.
Apa yang penting, anda harus mengawal nafsu untuk membeli makanan ketika berada di bazar Ramadan mahupun ketika mahu memasak.
Gaji yang bakal masuk pada 25 Jun depan haruslah digunakan
sebijaksana dan secermat mungkin manakala gaji pada 9 Julai pula bukan
tiket untuk penjawat awam berjoli sakan.
Ingat, kalau anda tak mahu makan mi segera mahupun senario lebih
teruk, anda terpaksa meminjam duit dari teman-teman, maka mulailah
berjimat dalam berbelanja dari momen sekarang.
Percayalah, ruang hampir dua bulan tanpa gaji bukan perkara yang mudah untuk dihadapi, silap hari bulan, boleh jadi mental, kan? -Kedahnews.com