Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim. |
KUNDASANG – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberi khidmat
kaunseling kepada 56 mangsa gempa bumi di Sabah sejak insiden itu
berlaku pada 5 Jun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Katanya mangsa berkenaan terdiri daripada penduduk kawasan gempa bumi
itu dan anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa
bumi itu.
“Kami ada pasukan kaunseling dan setakat hari ini pasukan itu telah
memberi kaunseling dan bimbingan kepada 56 orang yang terdiri daripada
mangsa, penduduk dan anggota keluarga mangsa yang terkorban semasa gempa
bumi itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk Kampung
Kiau Taburi Rabu malam.
Sehingga Isnin, 54 gegaran susulan direkodkan Jabatan Meteorologi
selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di
Ranau pada 7.15 pagi Jumaat lalu.
Mengenai lawatannya ke rumah balu mendiang Joseph Selungin, malim
gunung yang terkorban dalam gempa bumi itu, Rohani berkata kedua-dua
anak lelaki mendiang, masing-masing berusia satu dan empat tahun, akan
diberi bantuan bulanan sebanyak RM100 sehingga kedua-duanya mencapai
umur 18 tahun.
“Selain itu kami juga akan membantu balu mendiang, Rozitah Daimin,
27, dengan memberi kursus apa sahaja bentuk kemahiran yang diminatinya.
Saya telah bercakap dengan Rozitah dan beliau berminat mengikuti apa
sahaja kursus kemahiran untuk menyara kehidupan selepas kehilangan
suaminya yang merupakan tulang belakang mereka sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, ibu Rozitah, Seibit Longkou, 58, berkata beliau
sekeluarga sangat berterima kasih kepada semua pihak yang berbesar hati
memberi pelbagai bentuk bantuan kepada anaknya.
Walaupun bantuan itu tidak mampu menghilangkan kesedihan selepas
kehilangan orang tersayang namun sekurang-kurangnya ia dapat meringankan
beban mereka sekeluarga, katanya. – BERNAMA