Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek (kiri) mengacu pistol kepada pekerja kedai serbaneka 24 jam. |
ALOR SETAR - Enam remaja yang aktif melakukan samun bersenjata di kedai
serbaneka 24 jam sekitar Kedah dan Pulau Pinang ditahan polis semalam.
Difahamkan, empat daripadanya ditahan di sebuah rumah dekat Kampung
Paya Kerchut, Mukim Air Putih setelah menyamun sebuah kedai serbaneka 24
jam di Tanah Merah, Pendang.
Manakala dua lagi ditahan di lokasi berasingan sekitar Pendang oleh
anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan JSJ Pendang.
Ketua JSJ Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, polis
menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 15 hingga 22
tahun.
“Mereka ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki melakukan samun
di lima kedai sekitar Kedah dan satu di Pulau Pinang,” katanya.
Menurutnya, seorang daripada mereka juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.
“Kita merampas pistol tiruan, sebuah kereta, sebilah parang dan plat nombor kenderaan dipercayai palsu.
“Dengan tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan dua kes
rompakan di Kota Setar, Sungai Petani (1), Kuala Ketil (1), Pendang (1)
dan Timur Laur, Pulau Pinang (1),” katanya.
Mohd Nashir berkata, kesemuanya yang tidak bersekolah dan tidak bekerja
direman sehingga 12 Jun mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana
samun berkawan dan Undang-undang Pencegahan.
Sumber: Sinar Harian