Bomba sentiasa sedia demi rakyat |
KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
membekukan cuti sebanyak 9,100 anggotanya di seluruh negara sepanjang
perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata hanya 29 peratus
sahaja daripada jumlah keseluruhan lebih 13,000 anggota yang dibenarkan
bercuti.
Katanya ini bermakna anggota bomba akan bekerja seperti biasa dan
berada pada ‘stand-by’ sekiranya berlaku apa-apa kecemasan atau bencana
semasa musim raya.
“Sepanjang musim perayaan, anggota dari 277 balai bomba di seluruh
negara akan melakukan rondaan untuk meninjau 16 lebuh raya yang berisiko
tinggi berlaku kebakaran dan kemalangan jalan raya,” katanya ketika
dihubungi Bernama.
Beliau berkata antara lebuh raya yang diberi tumpuan ialah Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai-Timur.
Wan Mohd Nor berkata bomba juga akan melakukan rondaan di sekitar premis yang menjadi tumpuan masyarakat.
Menurutnya, kejadian kebakaran yang berlaku pada musim perayaan
disebabkan pertambahan aktiviti manusia pada ketika itu berbanding
hari-hari biasa.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan ibu bapa mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain mercun.
“Ini kerana daripada aktiviti bermain mercunlah antara punca
kebakaran pada musim perayaan. Ibu bapa dinasihatkan jangan lalai dan
kerap memantau aktiviti anak mereka,” katanya. – BERNAMA