GUA MUSANG – Sasterawan Negara, A. Samad Said secara rasmi menamatkan
desas-desus yang mula tersebar sejak semalam apabila menyertai DAP
dalam satu majlis anjuran parti pembangkang itu di sini pada Sabtu.
Pengisytiharan kemasukan beliau diumumkan sendiri penasihat parti itu
yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang serta turut dirakam
dan dimuat naik menerusi akaun laman sosial Twitter milik DAP Malaysia.
Kemasukan A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad
Said, 80 tahun; ke dalam parti itu turut dimeriahkan dengan acara
penyerahan kad keahlian rasmi DAP yang diserahkan sendiri oleh Kit
Siang.
“Sasterawan Negara Sdr. @asamadsaid menerima kad keahlian DAP beliau dari Ketua Parlimen DAP @limkitsiang,” kicau DAP Malaysia secara ringkas menerusi laman Twitter parti itu awal petang Sabtu.
Pengumuman itu turut disaksikan oleh Setiausaha Organisasi DAP,
Anthony Loke dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam majlis
penyerahan rumah mangsa banjir anjuran pertubuhan Gabungan Impian
Kelantan.
Ironi, agak aneh apabila majlis tersebut berlangsung di Kampung
Pasir Tumboh, Gua Musang, Kelantan, negeri dikuasai Pas; bukan di ibu
pejabat DAP di Kuala Lumpur atau Pulau Pinang yang ditadbir oleh parti
berkenaan.
Tiada kelibat kehadiran wakil Pas serta kerajaan negeri Kelantan
dalam program itu dan ia menimbulkan tanda tanda tanya apakah Pas tidak
dijemput atau memang sengaja tidak diberitahu bagi memalukan imej Pas
sendiri.
Ramai penganalisis melihat acara itu sengaja dibuat di Kelantan bagi
menunjukkan kepada Pas yang memutuskan tahaluf siyasi atau hubungan
kerjasama politik dengan DAP menerusi usul khas pada muktamar di
Selangor.
Timbul persoalan kenapa pengisytiharan kemasukan A. Samad Said dibuat
secara tergesa-gesa pada waktu kurang sesuai ekoran keretakan hubungan
DAP dengan Pas yang semakin teruk akhir-akhir ini ibarat retak menanti
belah.
Ada cakap-cakap politik mendakwa, tindakan DAP sengaja buat program
itu di Kelantan sebagai dakyah bagi menarik minat rakyat negeri Serambi
Mekah tersebut kononnya parti berkenaan berbilang kaum dan bukan rasis.
Bukanlah luar biasa bagi DAP cuba menonjolkan seramai mungkin ikon
Melayu menyertai parti itu dan sebagai persediaan awal menjadi calon
pada pilihan raya umum akan datang jika Pas muktamad memutuskan
hubungan.
Hakikatnya calon Melayu hanya alat boneka DAP kerana agenda parti
itu sendiri jelas disebut terang dalam perlembagaan parti tersebut untuk
menghapuskan segala hak istimewa Bumiputera jika memerintah Malaysia.
Memang sebelum ini ada beberapa individu Melayu menjadi ADUN dan ahli
parlimen mewakili DAP, tetapi pengaruh mereka dalam ‘mencorakkan’ hala
tuju parti itu langsung sifar ibarat melukut di tepi gantang.
Tidak perlu lihat Singapura yang diperintah PAP, parti asal DAP di
Malaysia; sebaliknya tengok sahaja apa berlaku di Pulau Pinang bagaimana
layanan mereka terhadap masyarakat Melayu dan wakil Pas dalam kerajaan
negeri itu.
Samad yang lebih sinonim dengan panggilan Pak Samad mula berjinak
dalam politik menerusi kempen antidasar Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.
Anehnya, beliau tidak pernah mengkritik dasar kerajaan DAP Pulau
Pinang yang tiada memartabatkan bahasa Melayu malah semua papan tanda
nama jalan di negeri itu dimasukkan tulisan Cina seperti berada di Hong
Kong.
Sebelum menyertai DAP, A. Samad cukup aktif dengan kegiatan
masyarakat dan pernah memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya,
dikenali Bersih yang menuntut agar proses pengundian dijalankan dengan
adil.
Lucunya, proses pemilihan DAP yang berlangsung tahun lalu teruk
dicemari unsur manipulasi dan menyebabkan semua pemenang sehingga kini
masih lagi tidak diiktiraf sah oleh Pendaftar Pertubuhan.
Sumber: Mynewshub.cc