Kolam umpama di dalam gua yang dibina oleh Mat menggunakan kemahiran simenfero. |
KUALA NERANG - Kunjungan ke pameran simenfero dari Jepun dan China di
sebuah pasar raya di Alor Setar beberapa tahun lalu menarik minat
penduduk di sini untuk berkecimpung dalam bidang itu.
Walaupun tidak mempunyai kemahiran dalam seni itu, Mat Din, 44, dari
Kampung Apil, Jalan Kuala Nerang membuat kajian sendiri sehingga dia
berjaya menghasilkan binaan berkenaan.
Cement Ferro atau simenfero adalah kombinasi simen dan besi yang menghasilkan binaan berbentuk batu, cendawan dan sebagainya.
Mat berkata, dengan hanya menggunakan kertas sebagai kerangka untuk
barang yang mahu dibina, dia berusaha memperbaiki setiap kesilapan dan
kelemahan dilakukan sehingga berpuas hati terhadap binaan yang
dihasilkannya.
"Saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus kemahiran ini dan sebab
itulah pada awal pembabitan, saya seolah-olah teraba-raba bagi mencari
formula untuk menghasilkannya.
"Berkat usaha dan nasihat dari rakan-rakan, akhirnya saya berjaya mencipta pelbagai barangan menerusi kemahiran simenfero den
"Saya juga mampu membina kolam renang, air terjun dan dinding seperti di dalam gua,” katanya.
Mat berkata, kemahiran simenfero memerlukan ilham dan kreativiti yang
tinggi kerana kehalusan seni itu mampu memberi kepuasan kepada
perekanya.
Kini dengan pengalaman hampir 13 tahun dalam kemahiran simenfero,
kepakaran yang dimilikinya menjadi tumpuan pelanggan yang ingin hasil
seni dihasilkan menghiasi lanskap kediaman mereka.
Mat berkata, pada masa kini orang ramai sanggup menghabiskan wang
beribu ringgit untuk menghiasi halaman dalam dan luar kediaman mereka
menyebabkan binaan simenfero semakin menjadi tumpuan.
Katanya, kelebihan membuat binaan simenfero ialah rangkanya mudah
dibentuk, binaan yang tahan lasak apabila terdedah kepada hujan atau
matahari, tidak memerlukan teknologi tinggi dan kos penyelenggaraannya
rendah.
“Bagaimanapun bagi menghasilkan satu binaan ia memerlukan kesabaran tinggi dan sebab itu tak ramai mampu melakukannya.
"Contohnya untuk membuat dinding dan kolam air seperti dalam gua memerlukan masa kira-kira sebulan untuk disiapkan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian