Rutin remaja Muhammad Syahrul Rostam setiap malam adalah
berlegar-legar di sekitar Jaya Gading di sekitar bandar Kuantan, mencari kotak dan tin
kosong bersama-sama adiknya Muhammad Nazirul Shafik.
Muhammad Syahrul, 17, akan menghulurkan kotak atau tin yang dijumpai
kepada adiknya Muhammad Nazirul Shafik, 9, untuk dimasukkan ke dalam
plastik bagi memudahkan dibawa pulang ke rumah mereka di Perumahan
Rakyat Termiskin di Jaya Gading.
Sebagai anak sulung, Muhammad Syahrul 'memilih' untuk berhenti
sekolah pada usia 14 tahun, bagi membantu ibunya Sharifah Noraini Syed
Yaman Aziz, 35, mencari rezeki bagi memastikan adik-adiknya dapat terus
menimba ilmu.
"Selepas berhenti sekolah, saya bekerja di pusat mencuci kereta
dengan upah RM30 sehari. Sekarang saya mencari dan menjual kotak dan tin
kosong. Jika bernasib baik, saya boleh bawa pulang RM20 sehari.
"Tetapi, jika diberikan peluang, tentu saya mahu sambung belajar...
sekurang-kurangnya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya dapat
ke kelas kemahiran untuk menjadi mekanik," katanya kepada pemberita di
sini, Khamis.
Muhammad Syahrul ditemui pada program Jejak Asnaf Fakir Miskin
anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang hadir ke rumahnya untuk
menyampaikan bantuan makanan dan barang keperluan.
'Aksi' dua beradik itu menyelongkar tong sampah bagi mencari rezeki pernah dimuat naik di Facebook dan mendapat 1,865 'likes'.
Selain Muhammad Nazirul Shafik, tiga lagi adik Muhammad Syahrul ialah Siti Fatimah, 16, Siti Shafikah, 14, Muhammad Khairul, 11.
Muhammad Syahrul berkata ayahnya Rostam Ahmad, 37, meninggal dunia
pada 2012 akibat barah otak, manakala ketiadaan Sharifah Noraini pada
'kunjungan mengejut' itu ialah kerana ibunya baharu dua hari bekerja
sebagai tukang cuci.
Bercerita tentang persiapan raya, Siti Fatimah yang belajar di
Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Mahkota di sini, berkata perkara itu
bukan keutamaan kerana tidak mahu membebankan ibu.
"Jika ada wang lebih mungkin akan fikir tentang baju baharu. Jika
tiada pun tidak mengapa kerana baju sebelum ini masih boleh digunakan,"
katanya.
Beliau juga memberitahu rumah dua bilik itu turut didiami ibu
saudaranya Sharifah Nur Baizura Syed Yaman Aziz, 25, dan suaminya Mohd
Shukri Husin, 25, yang berkerja sebagai buruh serta empat anak mereka
iaitu Mohd Shukri Alias, 8, Nur Mazliana, 4, Mohd Amirul Rizal, 3, dan
Nur Amira Natasha, 7 bulan.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Ihsan UMP Dr
Mahyuddin Ismail berkata Muhammad Syahrul adalah satu daripada 11 asnaf
fakir miskin yang dikenal pasti untuk menerima sumbangan itu.
"Program ini memberi peluang dalam kalangan warga universiti untuk
turun padang menghulurkan sumbangan keperluan asas supaya golongan ini
juga dapat merasai kegembiraan pada Ramadan ini," katanya.
Beliau berkata sumbangan itu diselaraskan menerusi Jawatankuasa
Kebajikan di Jabatan Pendaftar UMP selain dikumpulkan melalui sumbangan
pihak korporat dan orang ramai.
Sumber: mStar