Penasihat DAP, Lim Kit Siang |
ALOR SETAR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang terus mendedahkan "pekung" di dalam Pakatan Rakyat dengan menegaskan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah bersetuju menjadikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai calon Perdana Menteri.
Kata Kit Siang, mujurlah Pakatan Rakyat tidak menang pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang lalu di mana sekiranya gabungan parti pembangkang itu menang, mereka akan berpecah lebih awal dari yang berlaku kini.
"Krisis Pakatan mungkin berlaku lebih awal jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai majoriti kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke-13 dua tahun lalu, kerana Hadi tidak pernah menerima Anwar sebagai calon Pakatan menjadi perdana menteri," kata Kit Siang dalam satu kenyataan semalam.
Malah kata bapa Ketua Menteri Pulau Pinang itu, Pakatan Rakyat hanyalah tinggal nama saja sejak lebih setahun lalu disebabkan sikap Abdul Hadi yang selalu melanggar prinsip-prinsip gabungan tiga parti berkenaan.
"Sejak setahun lalu Pakatan wujud hanya pada nama, bukan secara hakikatnya disebabkan Hadi melanggar dua prinsip asas Pakatan, rangka kerjasa dasar bersama Pakatan.
"(Hadi juga melanggar) prinsip konsensus operasi bahawa persetujuan ketiga-tiga parti komponen Pakatan diperlukan bagi melaksanakan mana-mana cadangan Pakatan," katanya yang dipetik dari Malaysiakini.
DAP sebelum muktamar PAS berlangsung pada awal bulan ini membayangkan Pakatan Rakyat akan berkubur dan keadaan itu bergantung pada keputusan pemilihan PAS.
Melihat pada keputusan pemilihan PAS yang disapu bersih pemimpin pro-ulama, DAP mempergiat serangan dan melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap parti itu khususnya kepada Abdul Hadi.
DAP kemudiaan mengumumkan Pakatan Rakyat telah berkubur dan dilihat begitu mesra dengan majoriti pemimpin utama PAS yang tersingkir dalam pemilihan PAS yang lalu dalam satu majlis.
Para Pemimpin PAS yang tersingkir itu dikatakan sedang memikirkan ura-ura untuk menubuhkan parti baru dan dilapor turut mendapat respon positif dari Mohd Faiz, anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. -Kedahnews.com