Perwakilan Selangor Dewan Ulama PAS Pusat, Rizuan Rahmat |
GOMBAK - Perwakilan Selangor Dewan Ulama PAS Pusat
membidas sikap segelintir ahli dan pemimpin parti itu yang lebih
cenderung mengikut rendak DAP, termasuk menyerang kepimpinan tertinggi
PAS.
Rizuan Rahmat berkata, tindakan ahli dan pemimpin PAS mempertikaikan
kepimpinan ulama dalam parti dianggap lebih biadap berbanding DAP.
"Tak kira dari mana, apatah lagi daripada kalangan pemimpin-pemimpin,
jangan keluarkan kenyataan biadap. Biadapnya DAP terhadap PAS kerana
mengeluarkan kenyataan sangat dahsyat.
"Ahli PAS yang bersetuju dengan pandangan DAP terhadap PAS, maka
mereka lebih biadap daripada DAP kerana kamu ahli PAS,” katanya ketika
membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat di sini, Rabu.
Katanya lagi, kumpulan berkenaan seharusnya lebih berhati-hati dalam
mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berkaitan kedudukan ulama.
“Kita harap tidak ada lagi mulut-mulut celupar yang berani
memperlekehkan kedudukan ulama hari ini serta mempertikaikan ulama
khususnya dari Majlis Syura,” katanya.
Sebelum ini beberapa pimpinan PAS mengeluarkan kenyataan yang
menyanggah pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam
pelbagai isu, termasuk Menteri Besar Selangor.
Beberapa kenyataan Hadi yang tidak bersetuju dengan isu itu dianggap pandangan peribadinya dan tidak mewakili PAS. -mStar