Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem |
KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau
hanya memerlukan lima tahun lagi untuk memimpin Sarawak sebelum bersara.
“Faktor umur dan kesihatan menghalang saya untuk memimpin Sarawak
lebih daripada tempoh itu,” kata Adenan ketika berucap merasmikan
Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak Bahagian Kota Samarahan di
sini, Isnin.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberi beliau mandat penuh
lima tahun lagi sebagai ketua menteri bagi membolehkan beliau meneruskan
usaha serta tugas-tugas yang masih belum sempat beliau tunaikan untuk
rakyat dan negeri itu sejak dilantik sebagai ketua menteri pada 28 Feb
tahun lalu.
Antara perjuangannya yang belum tercapai ialah untuk mendapatkan
persetujuan kerajaan pusat untuk menaikkan peratusan royalti minyak dan
gas sebanyak 20 peratus serta mengurangkan jurang kemiskinan antara
masyarakat bandar dan luar bandar.
Adenan, 71, berkata beliau telah memohon kepada kerajaan pusat untuk
memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk pembangunan luar
bandar Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan
berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
Mengenai pendatang asing tanpa izin di Sarawak, beliau mahu supaya
Jabatan Imigresen sentiasa membuat pemantauan serta mengambil tindakan
tegas termasuk menahan dan menghantar mereka pulang ke negara asal.
Menurut Adenan, beliau menerima laporan bahawa terdapat rakyat
Pakistan yang menjalankan perniagaan di negeri itu tanpa permit dan mahu
supaya Jabatan Imigresen bertindak ke atas mereka.
Sementara itu, beliau menegaskan Sarawak tidak memerlukan parti
politik dari Semenanjung Malaysia untuk datang ke negeri itu termasuk
UMNO.
“Kita orang Sarawak tahu bagaimana untuk mentadbirkan negeri kita
sendiri dan saya sudah beritahu Perdana Menteri sendiri bahawa kita
tidak mahu UMNO datang ke Sarawak,” tambahnya.
Katanya, beliau juga akan terus dengan dasar untuk menyekat kemasukan
individu dan kumpulan ekstremis dari Semenanjung Malaysia ke negeri
itu. – BERNAMA