Azre dan Noraini bersama Muhammad Azfar yang perlu dibedah segera. |
SUNGAI PETANI – Seorang bayi, Muhammad Azfar Azre, lima bulan memerlukan
dana kira-kira RM50,000 bagi membiayai pembedahan jantung nya yang
perlu dilakukan segera.
Muhammad Azfar dikesan mengidap masalah jantung, 1 Jun lalu, selepas
melakukan pemeriksaan susulan di Hospital Abdul Halim, Sungai Petani, di
sini, berikutan tidak cukup berat badan.
Bapanya, Azre Mohamad, 43, berkata, doktor mengesan pernafasan
Muhammad Azfar agak tercungap-cungap sebelum membuat pemeriksaan lanjut
dan mendapati ada masalah pada jantung.
"Muhammad Azfar kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.
“Dari situ kami dapat tahu terdapat dua lubang di bahagian jantung,
manakala satu saluran lagi sempit menyebabkan Muhammad Azfar sukar
bernafas,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan dana berkenaan,
termasuk memohon kebenaran meletakkan tabung di masjid, berjumpa
syarikat korporat, orang perseorangan selain membuat rayuan kepada
pelbagai pihak.
"Bagaimanapun, jumlah dana masih belum mencukupi untuk membolehkan Muhammad Azfar dibedah.
"Dengan pendapatan sebagai juruteknik kilang industri kira-kira RM1,600
sebulan, jumlah itu tidak mencukupi untuk menabung bagi membiayai
rawatan. Tambahan pula, isteri saya (Noraini Tohat, 41) hanya suri
rumah," katanya.
Difahamkan, pasangan ini berkahwin sejak 19 tahun lalu dan dikurniakan zuriat sendiri 5 Januari lalu.
Bagaimanapun, mereka mengambil seorang anak angkat, Muhammad Irfan
lapan tahun lalu. Selepas dua tahun dijaga, Muhammad Irfan mula dikesan
sebagai orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Noraini berkata, dia dan suami mengimpikan zuriat sendiri setelah enam kali mengalami keguguran.
"Sejak ambil Mohd Irfan, saya pernah juga hamil, tetapi gugur,
sehinggalah saya hamil Muhammad Azfar dan dia disahkan mengidap masalah
jantung.
"Setelah beberapa kali mencuba kami diuji sebegini berat. Namun, kami
bersyukur kerana diberi peluang memiliki zuriat sendiri," katanya.
Menurutnya, Muhammad Azfar perlu diberikan dua jenis ubat untuk bertahan dan dia mudah mengah sekiranya diberikan minum susu.
“Selepas minum, selalunya dia akan muntah balik, itu yang merisaukan kami.
"Kami akan tetap berusaha bagi membolehkan Muhammad Azfar menjalani pembedahan," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank Noraini Tohat (1521-8908-5227).
Sumber: Sinar Harian