JAKARTA — Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) secara
rasmi pada Rabu melarang Indonesia daripada menyertai semua kejohanan
antarabangsa kecuali perlawanan menerusi Sukan SEA 2015 yang kini
berlangsung di Singapura.
Tindakan tegas itu susulan penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia
(PSSI) pada 30 Mei kerana campur tangan langsung pemerintah sejak
sebulan lalu.
Mengikut perlembagaan badan induk bola sepak dunia itu, PSSI
melanggar Artikel 13 dan 17 apabila Kementerian Pemuda dan Olahraga
Indonesia enggan mengiktiraf dan menggantung semua liga tempatan
republik tersebut.
Berikutan keputusan FIFA dan diikuti AFC, pasukan kebangsaan
Indonesia ‘diharamkan’ mengikuti sebarang kejohanan di luar negara yang
diiktiraf dua badan pentadbir bola sepak tersebut berkuat kuasa serta
merta.
Bagaimanapun, PSSI terselamat apabila dibolehkan menyertai acara bola
sepak pada Sukan SEA di Singapura kerana temasya serantau itu telah
berlangsung lebih awal dan jadual perlawanan memang tidak boleh diubah
lagi.
Berikut adalah antara kejohanan antarabangsa anjuran FIFA dan AFC yang tidak boleh disertai Indonesia:
Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019: Indonesia
kebetulan dalam kumpulan F pusingan kelayakan untuk dua kejuaraan ini;
sekali gus jadual Indonesia pada Jun 2015 menentang Taiwan dan Iraq
dibatalkan.
Piala AFC B-16 dan AFC B-19: Undian penentuan
kumpulan bakal berlangsung pada Jumaat namun sekatan terhadap Indonesia
telah diputuskan sebelum undian, maka jumlah pasukan setiap kumpulan
tiada perubahan.
Kejohanan Serantau Wanita AFC B-14: Indonesia
diletakkan dalam Kumpulan A, maka susulan pengharaman oleh FIFA, bererti
Kumpulan A dan B masing-masing akan diisi hanya oleh empat negara.
Kejuaraan Futsal Wanita AFC 2015: Indonesia
dikeluarkan dari daftar penyertaan, ini bermakna mekanisme undian pun
bakal diperbaharui, tetapi tidak begitu mempengaruhi jumlah pasukan
dalam setiap kumpulan.
Kelayakan Piala Futsal AFC 2016 (Zon ASEAN): Indonesia
sebenarnya adalah tuan rumah pusingan kelayakan, namun susulan larangan
ini, Indonesia diminta AFC untuk mencari bakal tuan rumah pengganti.
Piala Dunia Futsal: Pasukan Indonesia tidak
diizinkan mengikut serta dalam kejohanan Futsal AFC 2016, yang juga
merupakan salah satu pusingan kelayakan untuk menempah masuk ke Piala
Dunia Futsal.
Piala AFC 2015: Dua kelab elit Indonesia yang
termasuk dalam 16 pasukan terbaik Asia, Persib Bandung dan Persipura
Jayapura, secara automatik tidak lagi dibenarkan menyertai pusingan
kelayakan seterusnya.
Program pembangunan: Indonesia tidak boleh
menghantar pegawai, jurulatih, pengadil atau pemain untuk program
pembangunan anjuran AFC dan FIFA termasuk kursus, seminar atau bengkel. —
Agensi