Ahli Parlimen Gesa TH Jangan Jual Tanah TRX-MDB

Tun Razak Exchange (TRX)
KUALA LUMPUR – “Dulu lain, sekarang lain”…begitulah nada anggota Parlimen terhadap polemik tanah milik Lembaga Tabung Haji (TH) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX), lapor sebuah portal media.

Rata-rata beberapa wakil rakyat yang menyentuh isu itu, termasuk bukan Islam menyokong agar tanah seluas 0.63 hektar itu tidak dijual semula malah disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang yang cukup menguntungkan.

Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata TH akan memperoleh keuntungan yang lebih besar sekiranya mempertimbangkan semula rancangan untuk tidak menjual tanah berkenaan kepada pihak lain.

“Dari sudut perniagaan, lebih banyak untung jika tidak dijual,” katanya mencelah penggulungan usul Rancangan Malaysia Ke-11 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), yang turut menyokong cadangan tersebut, berkata pihak pengurusan TH sememangnya mempunyai kepakaran dalam perniagaan dan telah menjalankan amanah.



“Mereka berkhidmat dengan sebaiknya sejak dahulu lagi. Kita minta tanah ini jangan dijual oleh TH kerana dalam prospek bidang perniagaan hartanah, tanah apabila semakin hari disimpan semakin naik harga,” katanya.

Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) pula berkata cadangan penjualan tanah itu sebelum ini dibuat berikutan persepsi politik khasnya apabila melibatkan tohmahan jahat ke atas 1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).

“Kalau persepsi itu sudah tidak ada, apa kata menteri supaya tanah ini tidak dijual malah dipertahankan untuk pembangunan demi keuntungan yang lebih besar kepada TH pada masa hadapan,” katanya.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi); Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang); Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) dan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) turut menyatakan sokongan.

Turut menyokong ialah seorang anggota parlimen pembangkang, Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) yang mengucapkan tahniah kepada TH kerana berani membuat suatu pembelian yang menguntungkan.


“Isu ini timbul kerana isu 1MDB pada masa itu, tiba-tiba TH keluar wang banyak untuk beli tanah yang mahal, tetapi hasil penerangan diberi mengatakan pembelian itu adalah agak murah jika banding tanah sebelahnya.

“Maka itu perkiraan menguntungkan kepada TH,” kata beliau. Menyambut baik sokongan itu, Jamil Khir berkata beliau akan membawa perkara itu kepada panel ahli lembaga TH untuk menilai semula cadangan berkenaan.

“Saya mendapat sokongan yang cukup luar biasa di mana kita dapat bergabung pada hari ini dan memberikan sokongan supaya TH tidak menjual tanah tersebut dan saya mengambil perhatian tinggi,” jelas beliau, semalam.

Beliau sebelum itu berkata TH pada masa ini telah menerima tawaran pembelian tanah itu dan sedang mengkaji tawaran bukan hanya mahu sekadar mendapat pulangan modal sebaliknya keuntungan demi kebaikan pendeposit.

TH pernah dikecam hebat kerana membeli tanah tersebut dengan harga RM188.5 juta daripada syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB walaupun transaksi pembelian adalah telus, patuh syariah dan bersih tahap urus tadbir korporat.

Ekoran itu, pada 9 Mei lepas, TH memutuskan untuk menjual tanahnya di TRX atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menghormati sensitiviti persepsi pendeposit. – Agensi