KUALA TERENGGANU – Satu penemuan terbaharu membuktikan air zamzam dan
habbatus sauda atau jintan hitam mampu mengurangkan kesan ketagihan
dadah jenis opiat atau narkotik.
Penemuan itu merupakan hasil penyelidikan sekumpulan penyelidik Skim
Geran Penyelidikan NIC Kementerian Pendidikan Malaysia (NRGS-KPM) serta
beberapa universiti tempatan yang diterajui Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA).
Ia turut mendapat kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Penjara dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan) UniSZA, Prof Dr
Mohd Ekhwan Toriman berkata kajian yang dilakukan melibatkan 250
responden yang terdiri daripada penagih opiat di Penjara Marang.
“Kajian awal kita mendapati responden mula menunjukkan perkembangan
positif setelah diberikan air zamzam dan habbatus sauda dalam
mengurangkan pengambilan metadon untuk mengatasi ketagihan opiat mereka.
“Cumanya kajian lanjut diperlukan untuk mengenal pasti dos yang
mencukupi untuk dijadikan rawatan alternatif memulihkan mereka dari
ketagihan itu,” kata Mohd Ekhwan.
Dadah opiat termasuk candu, morfin, heroin dan kodein.
Beliau berkata doktor selalunya akan memberi metadon kepada penagih
namun ini dilihat boleh memudaratkan jika diambil dalam jangka masa
panjang.
Mohd Ekhwan berkata kajian selama lima tahun itu akan berakhir pada 2017 dengan penghasilan tiga bentuk modul.
“Modul pertama ialah i-TGM yang bertujuan meningkatkan pengekalan
terapi gantian metadon ke atas penagihan opiat sementara modul kedua
berupa pembentukan komuniti kasih kepada keluarga penagih.
“Modul ketiga pula ialah pembinaan model dan indeks kualiti hidup
Islam (i-QoL) bagi mengukur tahap kualiti hidup penagih dan keluarga
mereka sebelum dan selepas rawatan,” katanya dan menambah apabila
berjaya, rawatan alternatif untuk penagih opiat itu akan diperluaskan ke
seluruh negara.
Beliau berkata selain pemberian air zamzam dan habbatus sauda,
responden turut diajar untuk mengamalkan bacaan zikir, al-Quran serta
diberi kaunseling. – BERNAMA