KUALA LUMPUR – Edaran bersih akhbar-akhbar berbahasa
Melayu di seluruh Malaysia dari Julai sehingga Disember 2014 lalu
mencatatkan kemerosotan besar kecuali Kosmo! dan Kosmo! Ahad yang bertambah baik.
Laporan terkini dikeluarkan agensi Audit Bureau of Circulations
(ABC) pada Rabu turut menunjukkan kejatuhan semua akhbar termasuk yang
bukan berbahasa Melayu sepanjang tempoh separuh tahun kedua pada tahun
lalu.
Untuk segmen akhbar berbahasa Melayu, kajian oleh firma audit antarabangsa itu mendedahkan, Metro Ahad mencatatkan penurunan yang paling teruk pada tempoh tersebut berbanding data enam bulan pertama 2014.
Akhbar mingguan itu merekodkan jualan bersih hanya 276,885 naskhah
dari Julai sehingga Disember lalu dibandingkan dengan 328,700 naskhah
untuk separuh tahun pertama 2014, iaitu kejatuhan 51,815 naskhah.
Gambar hiasan |
Manakala Harian Metro meskipun sebagai akhbar harian Melayu
paling laris tetapi cuma dijual 266,403 naskhah untuk enam bulan
terakhir 2014 berbanding 313,690 naskhah pada separuh pertama; iaitu
turun 47,287 naskhah.
Mingguan Malaysia kekal sebagai akhbar Melayu paling popular
dengan 353,647 naskhah sepanjang enam bulan terakhir 2014; biarpun
kurang 7,272 naskhah iaitu 360,919 naskhah dari data Januari sehingga
Jun tahun lalu.
Untuk separuh kedua tahun lalu, Sin Chew Jit Poh merupakan akhbar paling laris di Malaysia dengan edaran 357,387 naskhah, dan The Star muncul akhbar berbahasa Inggeris popular dengan rekod 286,436 naskhah.
ABC dalam laporan tahunan tersebut turut menyatakan, akhbar harian Utusan Malaysia pula merekodkan jualan 166,503 naskhah, berbanding 171,663 naskhah dalam tempoh enam bulan pertama 2014; jatuh 5,160 naskhah.
Gambar hiasan |
Keadaan lebih teruk dialami Berita Harian (BH) apabila
mencatatkan edaran 109,088 naskhah pada separuh tahun kedua; kurang
16,426 naskhah iaitu 171,663 naskhah yang direkodkan dari Januari
sehingga Jun tahun lalu.
Situasi buruk turut dicatatkan akhbar edisi mingguannya iaitu BH Ahad
apabila merekodkan 132,933 naskhah berbanding separuh tahun pertama
2014 dengan edaran 156,835 naskhah; perbezaan negatif 23,902 naskhah.
Ironi, dua akhbar terbitan Kumpulan Utusan mencipta prestasi baik selepas jatuh sedikit pada 2013 dengan Kosmo! iaitu 199,795 naskhah; naik 2,593 naskhah berbanding 197,202 naskhah dalam enam bulan pertama.
Bahkan, edisi mingguan Kosmo! Ahad juga merekodkan
peningkatan dengan 210,269 naskhah; naik 1,834 naskhah daripada 208,435
naskhah dalam tempoh separuh tahun pertama.
Sumber: Mynewshub.cc