KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata
pemergian ke rahmatullah Tan Sri Omardin Mauju merupakan satu kehilangan
besar kepada bidang persilatan negara dan sukar untuk dicari ganti.
Beliau berkata Allahyarham Omardin, pengasas Pertubuhan Seni Silat
Lincah Malaysia (PSSLM), ketika hayatnya telah membangunkan seni silat
lincah sebagai sebuah pertubuhan yang begitu dihormati dan disegani.
“Saya mengenali Allahyarham begitu dekat lagi sekian lama. Ini satu kehilangan yang amat sukar diganti dalam seni silat lincah.
“Secara peribadi, saya kehilangan sahabat karib pada diri saya. Saya
amat menghargai apa yang telah Allahyarham lakukan atas nama agama dan
bangsa Melayu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi jenazah
Allahyarham Omardin di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin Mauju di Sunway
Batu Caves di sini hari ini.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam dengan turut
menunaikan solat jenazah dan berdoa bersama-sama ahli keluarga dan rakan
Allahyarham serta pengikut seni silat lincah tersebut.
Turut menziarahi ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad
Badawi, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan
Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah kira-kira pukul 3 petang.
Allahyarham meninggal dunia di Hospital Tawakal di sini pada pukul 3.20 pagi tadi, akibat komplikasi buah pinggang.
Omardin dipilih sebagai penerima pertama Anugerah Pendekar Malaysia
pada Julai 2011 yang disampaikan Najib pada majlis perhimpunan PSSLM
sempena 50 tahun pertubuhan itu. – BERNAMA