Amiruddin Hamzah Tolak Jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah?

Adun (PAS) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah
ALOR SETAR - Agak mengejutkan apabila dilaporkan bahawa Adun (PAS) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, dikatakan telah menolak jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah setelah diumumkan PAS Pusat, baru-baru ini.

Memetik laporan portal pro-Pakatan Rakyat, The Malaysian Insider, sumber portal berkenaan menjelaskan bahawa Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu telah menghantar surat bagi menolak jawatan tersebut kepada ibu pejabat PAS di ibu negara.

"Selepas Mazlan Aliman melepaskan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, seorang lagi pemimpin Datuk Amirudin Hamzah menolak jawatankuasa pesuruhjaya Kedah yang ditawarkan kepadanya.

"Menurut sumber, Amirudin sudah menghantar surat memaklumkan perkara itu kepada Ibu Pejabat PAS yang beliau tidak menerima tawaran itu," lapor portal berkenaan lewat petang semalam.

Bagaimanapun, laman Facebook rasmi PAS Kedah dan Dewan Pemuda PAS Kedah sempat mengucapkan tahniah pada Amiruddin atas perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS di negeri itu pada Ahad lalu.

Sebelum ini, Amiruddin menang tanpa bertanding bagi jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah ekoran penyandangnya yang juga Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi, membuat keputusan untuk mempertahan jawatan tersebut.

Sekiranya laporan portal itu benar, maka ia bakal meletakkan PAS Kedah dalam kedudukan kucar-kacir ekoran tiada pengemudi bagi menyatukan ahli dan penyokongnya yang sebelum ini dikatakan 'berperang" gara-gara pemilihan parti itu awal Jun lalu.

Jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum ini disandang oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengambil alih jawatan tersebut dari bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Bagaimanapun, Mahfuz digugurkan dari jawatan tersebut di Kedah dan jawatan tersebut diberikan PAS Pusat kepada Amiruddin sebelum beliau dilaporkan menolak jawatan berkenaan semalam. -Kedahnews.com