Amy Search |
Vokalis kumpulan Search iaitu Amy, meluahkan rasa
syukur apabila operasi sekolah tahfiz, Al-Bayan School of Quran &
Hadith miliknya di Sungai Buloh dekat sini diiktiraf Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais).
Pemberian sijil bagi mengesahkan operasi sekolah berkenaan telah
berlangsung di pejabat jabatan itu di Shah Alam dekat sini pada Isnin.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 57, berkata, dengan
adanya sijil tersebut ia dapat memudahkan lagi pengendalian sekolah
tahfiz berkenaan terutamanya dalam mendapat kepercayaan orang ramai.
"Alhamdulillah, Jais mempermudahkan niat saya untuk terus memperkukuhkan sekolah tahfiz ini.
"Dengan adanya sijil daripada pihak mereka, orang ramai akan lebih
mempercayai penubuhan sekolah ini yang bertujuan mendidik anak-anak
menghafal Al-Quran dan Hadis," katanya kepada mStar Online.
Amy dihubungi mStar Online selepas menerima sijil penubuhan
sekolah Tahfiz, Al-Bayan School Of Quran & Hadith di pejabat Jais
dekat sini pada pagi Isnin.
Amy bersama pelajar di Al-Bayan School Of Quran & Hadis |
Selain menghafal Al-Quran dan Hadis, mereka turut diajar Bahasa Arab selain pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan Matematik.
Sementara itu, Amy berkata, sehingga kini, seramai 18 pelajar yang mendaftar di sekolah berkenaan dan dia merancang untuk memperbesarkan lagi sekolah tahfiz tersebut pada tahun hadapan.
"Apabila sudah ada sijil Jais, macam-macam benda yang dirancang tetapi biarlah ia bergerak sedikit demi sedikit.
"Cuma saya mahu membesarkan lagi sekolah tersebut dan membuat perpustakaan dalam sekolah itu.
"Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka yang kini saya memiliki sebuah sekolah tahfiz, perkara yang saya idam-idamkan selama ini," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Amy dan keluarganya bakal mengerjakan ibadah Umrah pada 7 Julai depan.
Sumber: mStar