Anak Arwah Ustaz Fadzil Noor Dakwa PAS Mundur

Muhammad Faiz Fadzil Noor
ALOR SETAR - Anak mantan Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor, iaitu Muhammad Faiz berkata, strategi perjuangan PAS kini dilihat mengundur ke belakang walaupun asas kepimpinan parti itu masih memperjuangkan Islam.

Malah dia sempat menyindir sebilangan ahli dan penyokong PAS yang dilabel sebagai "pak lebai" yang disifatkan sebagai "kekampungan".

“Dasar perjuangan itu saya percaya masih Islam, cuma strategi perjuangan itu telah diundur ke belakang, di mana pada era 70-an, 80-an, PAS ini dicop sebagai parti pak lebai, parti ustaz, parti kekampungan,” kata Muhammad Faiz.

Anak muda yang dilihat baru berjinak-jinak aktif di dalam dunia politik itu mendakwa PAS menginjak ke tahun-tahun berikutnya, parti yang pernah diketuai arwah bapanya itu semakin melebarkan strategi perjuangan dengan menarik minat ramai golongan profesional untuk menyertainya.

“Pada era 80-an, 90-an dan 2000, telah berlaku anjakan pada dasar strategi perjuangan PAS yang lebih terbuka dengan konsep mengambil ramai profesional menyertai PAS. 

“Ramainya profesional dalam PAS, seterusnya boleh bertahaluf dengan parti lain, dapat membentuk kerajaan dan kita dapat lihat contoh kepimpinan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz yang menunjukkan satu pemerintahan yang baik, bersih, yang telah melonjak nama PAS itu sendiri,” katanya yang dipetik dari Malaysiakini.

Selain itu, Muhammad Faiz turut menyentuh tentang slogan yang diamalkan PAS sebelum ini iaitu ‘PAS For All’ yang merujuk kepada keterbukaan PAS menerima ahli untuk menyertainya.

Namun katanya, keputusan muktamar kali ini yang memilih kepimpinan baru disifatkannya agak tertutup dan hanya menfokuskan isu agama tanpa menfokuskan kepada kepentingan keterbukaan PAS kepada semua kaum.

Pergolakan kepimpinan dalaman PAS berlanjutan usai muktamar apabila golongan profesional atau turut dikenali sebagai progresif PAS tidak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai, lantas dikatakan bakal menubuhkan parti baru.

Antara pemimpin PAS yang didakwa merupakan peneraju kumpulan yang dikenali sebagai G18 ini adalah Mohammad Sabu atau Mat Sabu, Salahuddin Ayub, Mujahid Yusuf Rawa, Dr Hatta Ramli dan ramai lagi. -Kedahnews.com