Anggota Rela Bantu Masjid Di Derga Tanam Pokok Kurma

Anggota Rela yang menyertai aktiviti penanaman pokok kurma di Masjid Muhammad Iskandar Mas Tempawan.
ALOR SETAR -  Pihak Masjid Muhammad Iskandar Mas Tempawan dengan kerjasama anggota Rela, di sini sepakat untuk menghiasi kawasan masjid berkenaan dengan tanaman kurma.

Ketua Perhubungan Rela kawasan (KPRK) Derga, Yasrol Nizar Yaacob berkata, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak masjid, pihaknya membeli benih pokok kurma.

Menurutnya, idea itu tercetus selepas pihaknya mendapati penanaman pokok kurma dalam kawasan masjid masih belum dipraktikkan sepenuhnya berbanding di tempat terbuka.

"Masjid ini adalah antara masjid pertama yang menanam pokok kurma sebagai hiasan landskap.

"Bila pokok kurma ini berbuah, pasti masjid ini akan dikunjungi ramai. Langkah ini sekali gus dapat mengimarahkan masjid," katanya.

Yasrol berkata, kira-kira 20 pokok kurma dianggarkan bernilai RM50 setiap satu ditanam di sekeliling masjid berkenaan.

Terdahulu, kira-kira 20 anggota rela bersama sebahagian ahli jawatankuasa masjid berkenaan turut membersihkan kawasan tanah perkuburan.

Sumber: Sinar Harian