KUALA LUMPUR – Menteri Luar membidas kecaman bekas perdana menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran negara dan parti politik
dalam surat terbuka kepada editor akhbar harian Amerika Syarikat, The
New York Times.
Datuk Seri Anifah Aman kesal melihat Dr Mahathir cuba untuk
merosakkan negaranya sendiri dalam media antarabangsa sebagai sebahagian
daripada dendam politik peribadi.
“Ia adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana warga negara, apatah
lagi seorang bekas perdana menteri, untuk menyebarkan pembohongan dan
memutarbelit mengenai kedudukan syarikat-syarikat milik negara,” kata
beliau dalam surat terbuka itu, yang dikirim kepada Bernama.
Anifah mengkritik serangan Dr Mahathir terhadap 1Malaysia Development
Berhad (1MDB), UMNO dan tuduhan terhadap Perdana Menteri yang masih
berkhidmat, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini ialah beberapa petikan surat Anifah mengenai 1MDB.
“Contohnya dengan menyatakan bahawa RM42 bilion lesap dari 1MDB untuk
menimbulkan kebimbangan awam sedangkan hakikatnya ini hutang yang
diaudit bersandarkan aset bernilai RM51 bilion. Dakwaan-dakwaan melulu
ini memberi kesan kepada sentimen pasaran terhadap Malaysia.
“Selain itu, beliau terus melancarkan serangan, dan tidak sebaliknya
menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia, Ketua
Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
“Ini menunjukkan bahawa Tun Mahathir tidak berminat kepada jawapan
daripada pihak berkuasa berkenaan yang sah. Sebaliknya, beliau hanya
menggunakan 1MDB sebagai alasan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak.’
Mengenai pandangan Dr Mahathir terhadap UMNO yang menjadi ‘lubuk
untuk ahli politik bernaung’, Anifah berkata: “Tun Mahathir yang
mengetuai parti selama 22 tahun. Beliaulah semasa pemerintahannya
berusaha untuk memupuk budaya “yes men” (Pak Turut) dan mengukuhkan
kedudukannya.”
Mengenai tuduhan Dr Mahathir terhadap Najib, Anifah berkata ia semata-mata keterlaluan, dan tidak benar sama sekali.
Beliau berkata ia adalah hasil daripada langkah pembaharuan yang
dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang
membolehkan Tun Mahathir mempunyai kebebasan untuk bersuara begitu
kritikal terhadap parti dan kerajaan yang beliau pernah memimpin.
“Kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka melihat Dr Mahathir bersara
secara hormat daripada terus merosakkan kedudukan negara sendiri untuk
kepentingan politik peribadinya,” katanya. – BERNAMA