Anjing Liar Ganggu Penduduk Taman Ria Jaya, Sungai Petani

Ops Rantai bertujuan menangkap anjing liar yang menjadi ancaman kepada orang ramai di sekitar kawasan perindustrian.
SUNGAI PETANI – Beberapa anjing liar yang menimbulkan ancaman kepada orang awam ditangkap dalam Ops Rantai sekitar Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya, Sungai Petani.

Penolong Pegawai Penguat kuasa Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Noor Faizah Othman berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung anjing liar di kawasan terbabit sebelum pemantauan dilakukan.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati enam anjing liar berkeliaran sekitar kawasan perindustrian berkenaan sehingga menimbulkan ancaman bahaya kepada orang awam.

“Sepasukan anggota terdiri daripada 10 kakitangan Bahagian Kesihatan Am MPSPK diketuai Penolong Pegawai, Fatin Adibah Ruslan bersama enam anggota penguat kuasa menjalankan Ops Rantai,” katanya.

Menurutnya, tindakan dilakukan mengikut Perintah 3(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Anjing MPSPK 1995.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan agar memohon lesen bawah undang-undang tersebut.

“Mengikut perintah tersebut, tiada seseorang pun yang boleh melindungi, memelihara dan menyelenggarakan seekor anjing yang telah capai umur tiga bulan melainkan telah dilesenkan bawah undang-undang kecil ini,” katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi penambahan anjing liar di kawasan komuniti, orang ramai tidak digalakkan memberi makan yang dikatakan menjadi punca kepada ancaman tertentu.

Katanya, kesemua anjing liar yang ditangkap akan diserahkan kepada Pejabat Veterinar untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Penguatkuasaan MPSPK, Anil Aris berkata, pihaknya akan memantau dari semasa ke semasa dan melakukan tindakan sekiranya perlu bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin.

Dalam masa sama, beliau juga menggesa orang ramai yang menjadikan anjing sebagai peliharaan memohon lesen melalui MPSPK dan pemilik lesen sedia ada juga diminta mematuhi peraturan dan kehendak lesen sepenuhnya.