KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota keluarga beliau
hari ini memfailkan tindakan undang-undang bagi mengetepikan keputusan
Lembaga Pengampunan menolak petisyennya untuk mendapatkan pengampunan
diraja bagi sabitan kesalahan dalam kes liwat.
Bekas ketua pembangkang itu, isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, dua anak perempuannya Nurul Izzah dan Nurul Nuha, memfailkan
permohonan untuk mendapatkan semakan kehakiman di Pejabat Mahkamah
Tinggi di sini.
Permohonan yang difailkan melalui Tetuan Daim & Gamany itu
menamakan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia
sebagai responden.
Mereka memohon perintah mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan
pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang Di-Pertuan Agong supaya
memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 67.
Mereka juga memohon perintah mandamus agar lembaga itu mengadakan
semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk
mendapatkan pengampunan diraja yang dikemukakan anggota keluarga Anwar
serta mempersembahkan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.
Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar mendakwa
keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu,
adalah tidak sah.
Anwar mendakwa keputusan lembaga itu tidak dikemukakan secara
bertulis kepada beliau atau anggota keluarga beliau, yang mengemukakan
petisyen berkenaan.
Katanya, keputusan itu juga tercemar dan tidak terpakai kerana
responden kedua, iaitu Peguam Negara, adalah seseorang yang
berkepentingan dan mempunyai perasaan benci terhadapnya sejak sekian
lama.
Anwar berkata Peguam Negara telah memberi hujahnya dalam mesyuarat
lembaga itu pada 16 Mac dan perkara ini disahkan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Nancy Shukri dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai
Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan
hukuman terhadapnya pada 10 Feb kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd
Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Anwar diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya. Wan Azizah, Nurul Izzah dan Nurul Nuha juga hadir. – BERNAMA