Anwar Umum Pakatan Baru Akan Muncul Dalam Masa Terdekat?

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebuah pakatan parti pembangkang yang baharu akan muncul tidak lama lagi.

Beliau yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat memberi bayangan itu kepada penyokong pembangkang melalui satu perutusan yang disampaikan oleh peguamnya.

“Saya sedar walaupun beberapa perkara telah berlaku akhir-akhir ini, niat dan semangat pembangkang terus utuh.

“Kita sekarang sedang berusaha untuk menjalin kesepakatan yang lebih kukuh dan yang kekal supaya rakyat dapat diberi khidmat yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata, beliau percaya parti pembangkang setelah disusun semula dengan kekuatan baharu termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan muncul dengan lebih kuat selepas ini.

Justeru, beliau memujuk penyokong pembangkang supaya memahami tekanan dan ketegangan yang dialami antara parti-parti pembangkang adalah fitrah dalam sebuah gabungan politik.

“Ianya tidak bermakna kita tidak boleh menyelesaikan dan mengatasi masalah-masalah yang dihadapi,” ujarnya.

DAP baru-baru ini bercadang menubuhkan gerakan baru bagi menggantikan pakatan pembangkang yang menggabungkan kerjasama dengan PKR dan PAS.

Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) pula memaklumkan sebuah parti Islam baharu akan diwujudkan bagi menganggotai pakatan baru tersebut untuk menggantikan PAS.