MANUSIA adalah sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah SWT. Dalam surah at-Tin ayat keempat, Allah berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya manusia itu Kami jadikan dengan sebaik-baik kejadian".
Kebaikan dan ketinggian darjat manusia berbanding makhluk-makhluk lain ialah kerana manusia dikurniakan akal. Dengan akal, manusia mempunyai kekuatan untuk berfikir dan menyelidik. Akal juga telah menjadikan manusia makhluk yang beradab dan berkebudayaan.
Keadaan ini bertambah jelas lagi pada masa seseorang itu dilahirkan ke dunia. Pada peringkat awal kelahirannya, manusia berada dalam keadaan bertelanjang bulat. Kemudian ia menjadi makhluk yang tahu berpakaian dan berjaya mencipta pelbagai alat moden yang tidak terhingga jenis, ragam dan kegunaannya.
Dengan akal dan fikiran, manusia dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, yang putih dengan yang hitam, yang cerah dengan yang gelap atau yang hak dengan yang batil.
Keupayaan akal membuat perbezaan membolehkan manusia dapat hidup menjadi makhluk sosial yang tolong-menolong di antara satu sama lain. Keadaan inilah menjadikan manusia makhluk yang paling tinggi darjat ciptaannya.
Namun demikian, akal juga dapat membawa manusia menjadi makhluk yang rendah dan hina. Akal boleh menimbulkan pelbagai kerosakan, keburukan dan mala petaka dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Lalu Kami jatuhkan dia menjadi serendah-rendah makhluk". (at-Tin: 5)
Kini, terdapat negara-negara maju dan membangun yang telah menyalahgunakan tenaga akal dan fikiran untuk merekacipta pelbagai jenis senjata moden yang boleh memusnahkan dunia dalam sekelip mata.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Telah timbul kerosakan di darat dan di lautan kerana perbuatan tangan manusia sehingga Allah rasakan kepada mereka akibat sebahagian perbuatan mereka sendiri agar mereka kembali kepada kebenaran (bertaubat)". (ar Rum: 41)
Permusuhan, pertelingkahan dan pencerobohan antara satu sama lain dan segala sesuatu perbuatan buruk yang diperlakukan oleh manusia pula akan menjatuhkan taraf manusia menjadi lebih rendah daripada taraf haiwan.
Untuk mengelak manusia supaya jangan sampai jatuh menjadi makhluk yang hina dan rendah maka kepercayaan (keimanan) terhadap Allah Yang Maha Esa perlu ditanam di dalam hati dan akal manusia.
Semua keadaan adalah jelas, kalau kita teliti apa yang berlaku di sekeliling kita pada masa ini. Hukuman mati dikenakan ke atas pengedar dadah, tetapi kegiatan pengedaran dadah masih berterusan dan berleluasa. Hanya satu sahaja jalan yang dapat mencegah dan membendung segala perilaku buruk manusia ini. Ia adalah dengan menanam kepercayaan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT.
Kepercayaan dan keimanan terhadap Allah SWT adalah puncak segala pengertian. Dengan adanya kesedaran ini, maka akan terbendunglah segala fikiran yang jahat, hina dan curang daripada pemikiran manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Dialah yang mencipta langit dan bumi dalam enam masa. Kemudian Allah bersemayam di Arasy (singgahsana). Ia tahu apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya. Ia tahu apa yang turun dari langit dan apa yang naik ke atasnya. Dan Ia berserta kamu di mana saja kamu berada. Dan Allah melihat apa saja yang kamu lakukan". (al-Hadid: 4)
Ayat di atas menggambarkan bahawa setiap gerak laku kita adalah dalam pengetahuan Allah SWT. Allah Yang Maha Mengetahui, sedar akan gugurnya sehelai daun kayu dan terbangnya sebiji debu yang halus. Dia serba mengetahui setiap gerak geri, bunyi dan suara, tingkah laku manusia dan kalimah daripada mulut manusia.
Salah guna nikmat
Adalah rugi sekali sekiranya manusia menyalahgunakan nikmat pemberian Allah SWT ini. Mereka menggunakan akal untuk mengerjakan perbuatan yang tidak baik. Perbuatan berbohong, memfitnah, mencuri, merompak dan sebagainya. Semua perbuatan manusia itu adalah dalam pengetahuan Allah SWT. Bahkan, setiap perlakuan tersebut akan mendapat balasan di akhirat kelak.
Manusia harus sedar bahawa dirinya dicipta oleh Allah SWT dan diberikan kesempatan hidup yang begitu lama di dunia ini dengan mempunyai kekuatan berfikir. Gunakanlah akal dan fikiran itu ke arah yang baik dan sempurna agar ia dapat mengekalkan status makhluk ciptaan utama Allah SWT.
Jadilah manusia yang berterima kasih akan kurniaan nikmat akal yang diberikan Alah SWT dengan mematuhi segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sesungguhnya, Allah SWT akan memberi ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada mereka yang tahu berterima kasih di atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan-Nya.
Sifat pemurah Allah SWT akan lebih melimpah lagi terhadap hamba-hamba-Nya yang tahu bersyukur. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah lagi nikmat-Ku". (Ibrahim: 7)
Seseorang itu tidak dikira bersyukur kepada Allah apabila ia memakai nikmat Allah itu pada jalan yang dibenci-Nya. Orang itu telah kufur nikmat-Nya. Balasan orang yang sebegini ialah seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.
Dengan menjadi manusia yang tahu bersyukur dan berterima kasih terhadap semua nikmat yang dikurniakan Allah (sama ada nikmat lahir mahupun nikmat batin ataupun nikmat nampak atau tidak nampak), kita akan menjadi insan yang hidup senang di dunia dan bahagia di akhirat kelak. Insya-Allah.
Sumber: Utusan