Mayat mangsa dibawa ke pelantar selepas ditemui. |
ALOR SETAR - ”Laili beria-ria mahu berpuasa penuh pada Ramadan nanti
kerana tahun lalu masih dalam proses berlatih untuk berpuasa,“ kata Hawa
Osman, 41, ibu saudara kepada mangsa lemas, Noraini Maisarah Musa, 10,
yang lebih mesra dipanggil Laili.
Bagaimanapun hasrat itu tidak berkesampaian apabila dia ditemui lemas
selepas dibawa arus ketika mandi bersama adiknya, Ayu Wan Mira, 9, dan
rakan, Nor Alisya Natasya Yahya, 9, di Sungai berhampiran Kampung
Sematang Pinang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang itu, murid tahun empat Sekolah
Kebangsaan Seri Mahawangsa, Kuala Sala, Yan itu dikatakan mandi bersama
dua lagi yang lain sebelum dibawa arus terhasil daripada pergerakan
sebuah bot yang melalui kawasan berkenaan.
Difahamkan hasil tindakan pantas orang awam, dua mangsa iaitu Ayu Wan
Mira dan Nor Alisya Natasya berjaya diselamatkan sebelum dibawa ke
Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan susulan pada hari
kejadian.
Manakala mayat Noraini Maisarah ditemui terapung kira-kira jam 12.30
tengah hari semalam sebelum bapa saudaranya, Che Din Osman, 37, sambil
dibantu beberapa penduduk membawa mayat mangsa ke pelantar.
Hawa berkata, disebabkan terlalu teruja untuk berpuasa lebih awal,
Laili sempat berpuasa sunat sehari bulan Rejab kerana mengikut
rakan-rakan yang lain.
“Laili saya anggap seperti anak sendiri kerana menjaganya dari kecil
selepas keluarganya membuat keputusan untuk berpindah ke kampung setelah
lama berhijrah ke Pahang.
“Kami tiga keluarga tinggal bersama di rumah orang tua saya di Kuala
Sala, Yan. Dia anak sulung dari empat beradik dan sangat rapat dengan
adik keduanya, Ayu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, memang kebiasaan kedua-dua anak saudaranya itu mengikut dia
ke tempat kerja di kilang memproses kepah apabila musim cuti
persekolahan.
“Jika diikutkan, hari kejadian Laili ada mengadu dia tidak sihat namun,
tetap ingin ke kilang kerana seronok berjumpa rakan-rakan yang lain
tetapi mereka tidak pernah mandi sungai di kawasan itu sebaliknya hanya
mandi di bilik air disediakan dalam kilang.
“Saya hanya menyedari mereka tiada apabila tiba waktu ingin pulang.
Pada awalnya saya hanya mencarinya di bilik air kerana tidak sangka
mereka akan mandi sungai. Tambahan pula saya kerap berpesan supaya tidak
mandi di sungai itu kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.
Kemas bilik sambut adik baru
Kemas bilik sambut adik baru
Bagi ibu saudara mangsa, Zaiton Abdul Rahman, 45, arwah seorang yang ceria dan sangat mengambil berat tentang adik-adiknya.
“Laili dan Ayu juga sempat mengemas bilik untuk menyambut kedatangan adik baru mereka yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.
“Disebabkan mereka berdua terlalu rapat, mereka berdua kerap dianggap
seperti kembar. Kadangkala pergi ke sekolah pun berjalan bersama-sama,”
katanya.
Menurutnya, mereka juga mempunyai dua adik yang berumur tujuh dan tiga tahun.
“Saya antara orang terawal melihat mayat arwah terapung di lokasi
kejadian kerana perasan baju yang dipakainya. Disebabkan terlalu panik
dan bimbang mayat kembali tenggelam saya segera menjerit meminta bapa
saudara mangsa segera mengambil mayat itu.
“Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa arwah namun, tetap
bersyukur kerana arwah ditemui tidak sampai 24 jam,” katanya.
Dia berkata, arwah sempat memberitahu rakannya ingin membawa mereka
pergi jauh ke satu tempat (sungai) namun, tidak sangka itu petanda arwah
akan pergi selamanya.
Bapa mangsa, Musa Osman, 39, berkata, arwah anak yang baik dan dia rapat dengan adik-adiknya yang lain.
“Sebelum ini kami sekeluarga tinggal di Pahang sebelum berpindah
tinggal di rumah orang tua saya sejak beberapa tahun lalu. Memang sejak
dari kecil dia sangat rapat dengan kakak saya (Hawa) dan sering mengikut
kakak ke tempat kerjanya,” katanya.
Rakan cuba jerit minta tolong
Rakan cuba jerit minta tolong
Sementara itu, rakan mangsa, Nor Alisya Natasya, yang hanya duduk di
tebing sungai ketika kejadian berkata, sebelum ini, mereka bertiga
selalu mandi di kawasan cetek di sungai itu yang terletak berhampiran
dengan sebuah kilang memproses kepah.
“Kami selalu datang ke kilang itu untuk mengambil upah membersihkan
kepah bagi menambah wang saku. Kebiasaannya, kami akan mandi di kawasan
cetek tetapi semalam semasa mandi, sebuah bot lalu di situ menyebabkan
berlaku alunan ombak.
“Saya tidak mandi kerana takut. Mereka berdua yang berada di dalam
sungai dibawa jauh oleh alunan ombak dan saya cuba menjerit meminta
tolong tetapi tiada siapa yang mendengar kerana bunyi bising enjin bot,”
katanya.
Nor Alisya Natasya berkata, seorang daripada lelaki yang berada di atas
bot berkenaan mendengar jeritannya dan terus terjun menyelamatkan Ayu
Wan Mira tetapi tidak sempat menyelamatkan Noraini Maisarah.
Operasi bermula jam 7 pagi
Operasi bermula jam 7 pagi
Dalam pada itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Jalan
Raja, Mohd Jamaludin Mat Yusop berkata, operasi yang ditangguhkan pada
jam 11 malam kelmarin disambung semula pada jam 7 pagi semalam bagi
mencari mangsa.
“Operasi semalam (kelmarin) ditangguhkan kerana cuaca gelap. Operasi
disertai 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja dan
anggota penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dengan
menggunakan dua bot bomba.
“Sebelum itu, kita menerima panggilan kira-kira jam 7.12 malam sebelum
jentera pertama tiba sekitar jam 7.28 malam. Sewaktu tiba di lokasi dua
mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa ke HSB manakala seorang yang
masih hilang sebelum ditemui keesokan harinya (semalam),” katanya.
Sementara itu, jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Permatang Buluh berdekatan Kuala Sala, Yan selepas selesai proses bedah
siasat.
Sumber: Sinar Harian