ASEAN Perlu Laksana SOP Perubahan Iklim Serantau - Rohani Abdul Karim

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
LANGKAWI – ASEAN mesti melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengurangkan perubahan iklim, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

“Usaha bersepadu kami untuk mengurangkan dan menyesuaikan dengan perubahan iklim adalah perjalanan yang panjang membabitkan pelbagai pihak berkepentingan seperti kerajaan persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), yayasan kebajikan, usahawan sosial dan akar umbi.

“Masalah lazim tentang kecekapan dan kemampanan adalah disebabkan kekurangan badan kawal selia yang berkesan untuk merumuskan dasar komprehensif dan rangka kerja,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata isu-isu perubahan iklim perlu ditangani secara holistik, yang matlamat sosiopolitik dan ekonomi adalah seimbang untuk mencapai kecekapan dan kemampanan dalam usaha itu.

Rohani berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Serantau ASEAN mengenai Isu Gender Berhubung Perubahan Iklim dan Penyesuaian, di sini malam tadi.

Berhubung bengkel itu, beliau berkata ia merupakan satu daripada Jawatankuasa ASEAN mengenai Keutamaan Wanita dalam rancangan lima tahunnya (2011-2015). – BERNAMA