Gambar Hiasan |
KOTA TINGGI – Orang ramai khususnya warga emas di Johor dinasihati
agar tidak terpedaya dengan taktik pihak tertentu yang cuba mengaut
keuntungan melalui aktiviti menjual batu geliga yang didakwa ‘sakti’ dan
bernilai tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata batu geliga
yang didakwa mengeluarkan cahaya berkenaan hanyalah batu geliga palsu
yang direka supaya dapat mengeluarkan cahaya apabila bertindak balas
kepada air bagi membolehkan mangsa yakin terhadap ‘kuasa’ batu
berkenaan.
“Taktik yang digunakan kumpulan ini memang licik apabila batu itu
juga diletakkan di dalam sejenis bekas antik yang menjadikan ia
seolah-olah berharga,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari
ini.
Rahmat berkata modus operandi kumpulan ini ialah mangsa akan
diyakinkan suspek pertama sebelum menghubungi rakannya yang dikatakan
pakar dalam hal tersebut dan menawarkan harga yang tinggi.
“Namun suspek pertama hanya mahu menyerahkan batu geliga itu kapada
mangsa sahaja dengan hanya perlu membayar seberapa banyak wang yang ada
dalam akaun Tabung Haji selain wang yang ada pada mangsa.
“Setelah menyerahkan kesemua wang, mangsa akan didatangi seorang
lelaki lain (suspek) yang ingin menawarkan harga yang lebih tinggi dan
akan berjumpa selepas Zohor di tempat yang sama tetapi setelah menunggu
suspek ketiga ini tidak muncul, baru mangsa sedar dia telah ditipu,”
kata beliau.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Khamis lalu, seorang warga emas berusia 69 tahun dari Felda Bukit
Aping Timur, Kota Tinggi, kerugian kira-kira RM11,600 apabila terpedaya
oleh kumpulan yang didalangi tiga suspek yang mendakwa mereka mempunyai
batu geliga ‘sakti’. – BERNAMA