Gambar Hiasan |
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan satu pasukan
khas untuk membanteras gejala ‘kaki ponteng puasa’ pada bulan Ramadan
yang akan menjelang tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas
Khas Negeri Ghazali Taib berkata pasukan khas itu ditubuhkan bagi
memastikan umat Islam di negeri mematuhi syariat Islam pada bulan
Ramadan ini.
“Pasukan khas ini akan menjalankan pemeriksaan dan serbuan di
kedai-kedai dan restoran yang beroperasi pada siang hari sebelum pukul
dua petang yang mana kita tak akan benarkan restoran dan kedai
terutamanya milik orang Islam beroperasi sebelum pukul dua petang.
“Kita juga akan membuat penangkapan terhadap orang Islam yang baligh
tak kira lelaki atau perempuan yang didapati makan pada siang hari di
tempat awam,” katanya pada sidang media di sini.
Ghazali berkata pihak kerajaan negeri sangat tegas dan serius dalam
menangani gejala ponteng puasa di negeri ini dan sekiranya terdapat
penangkapan, tindakan dan dakwaan serta merta akan dikenakan terhadap
pesalah supaya ianya menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Dalam pada itu Ghazali berkata kerajaan negeri komited dalam melaksanakan undang-undang takzir di negeri ini.
“Kita sememangnya komited ke arah untuk melaksanakan undang-undang
Islam di negeri ini namun bagi melihat keunggulan hukum Islam itu, kita
mesti bersedia dari segi fasiliti, kepakarannya supaya apabila hukum
Islam dilaksanakan ianya tak boleh diperlekeh dan dipertikaikan kerana
ianya hukum Allah.
Untuk melaksanakan hukum ini, banyak perkara yang perlu diambil kira
dari segi keupayaannya, fasiliti dan hakim yang mana banyak kajian perlu
diambil kira termasuk melihat negara yang telah melaksanakannya,”
katanya.
Ghazali berkata untuk permulaan kerajaan negeri serius menangani
permasalahan akhlak terutamanya dalam kalangan remaja di negeri ini.
“Melalui institusi berteraskan pendidikan Islam di negeri ini kita
mahu lahirkan generasi di negeri ini generasi yang berakhlak dan berakal
budi yang mana sebelum meletakkan hukum, kita akan pastikan pelaksanaan
ilmu dan pendidikan diperkemas terlebih dahulu,” katanya. – BERNAMA