Awas! Lembu Di Kedah Mampu Undang Malapetaka Pada Pemandu

Papan tanda bergambar lembu diletakkan di tepi lebuh raya untuk memberi peringatan kepada pengguna supaya berhati-hati.
KESERONOKAN lima bersahabat bersiar-siar di Alor Setar, tidak berpanjangan apabila dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di sekitar Bukit Kayu Hitam, kenderaan yang dinaiki terlanggar seekor kerbau di Kilometer 22.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menyebabkan seorang daripada mereka terbunuh dalam usia remaja.

Insiden detik 3.30 pagi pada 28 Mac lalu adalah sesuatu yang malang kerana masalah haiwan ternakan dan binatang liar menceroboh ke lebuh raya sehingga menyebabkan kemalangan, bukan perkara baru.

Di Perlis, kemalangan melibatkan haiwan di jalan raya juga bukan luar biasa lagi, malah di Selangor, gara-gara mengelak memerang melintas jalan, dua maut apabila motosikal ditunggangi terbalik menyebabkan kedua-dua digilis lori kontena. Kemalangan tragis ini berlaku pada 4 Disember tahun.

Kebimbangan terlibat nahas seperti ini pastinya dikongsi ramai pengguna lebuh raya dan jalan raya di mana-mana negeri saja.

Di utara semenanjung, kedudukan lebuh raya yang merentasi sawah padi dan ladang-ladang dilihat menjadi faktor kewujudan haiwan ternakan di persekitaran lebuh raya.

Ternakan seperti lembu, kambing dan kerbau dipelihara oleh penduduk kampung yang terletak di pinggir lebuh raya.

Tinjauan Sinar Harian di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dari Jitra ke Changloon dapat melihat haiwan yang berkeliaran berhampiran lebuh raya.

Bagaimanapun haiwan tersebut sukar memasuki kawasan jalan raya kerana ada pagar yang memisahkan lebuh raya dengan kawasan bersebelahan.

Pengguna lebuh raya pula, diingatkan dengan kehadiran haiwan melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berpotensi menjadi tempat haiwan melintas jalan.
 
Kemungkinan besar yang menyebabkan haiwan terlepas ke kawasan lebuh raya disebabkan ketiadaan pagar di kawasan jalan masuk ke kampung-kampung berdekatan.
 
Seorang penduduk setempat, Hassan Mohamad, 49, berkata, biasanya lembu diternak dan dilepaskan di dalam ladang kelapa sawit berhampiran.
 
Menurutnya, bagi kawasan ladang biasanya dilengkapi dengan pagar untuk mengelak haiwan seperti lembu berkeliaran ke lebuh raya.
 
“Ada sesetengah penternak yang melepaskan haiwan mereka dan membiarkannya berkeliaran di sekitar kawasan kampung atau bendang.
 
“Keadaan ini mungkin menyebabkan haiwan tersebut boleh sampai ke kawasan lebuh raya. Kadang-kadang lembu sesat atau terlepas daripada pengawasan penternak,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Lembu dilepaskan di bendang
 
Dalam pada itu, tinjauan di sekitar kawasan kampung berhampiran lebuh raya mendapati kebanyakan haiwan ternakan dilepaskan di kawasan bendang padi atau ditambat di sekitar rumah pemiliknya.
 
Seorang penternak dikenali sebagai Jaafar, 20-an, berkata, bagi mereka yang memiliki banyak haiwan ternakan lazimnya akan melepaskan haiwan mereka berkeliaran di kawasan kampung.
 
Biasanya lembu akan dilepaskan secara berkumpulan supaya berkeliaran di kawasan bendang untuk mencari makanan.
 
“Di kampung ini jarang berlaku lembu-lembu dilepaskan sehingga masuk ke kawasan lebuh raya, biasanya berkeliaran di dalam kampung.
 
“Mungkin di sini agak jauh dari kawasan lebuh raya, kalau yang lebih dekat mungkin yang lepaskan lembu di kawasan ladang kelapa sawit,” katanya yang tinggal di Kampung Kubang Betong kira-kira tiga kilometer dari lebuh raya.
 
Tambah Jaafar, dia kini memiliki dua lembu yang sentiasa diawasi dan hanya ditambat di kawasan bendang berhampiran rumahnya.
 
“Kalau keluar bekerja saya akan pastikan lembu ditambat, begitu juga pada waktu malam kita letak dalam kandang.
 
“Kalau dilepaskan pun lembu tak pergi jauh, hanya dibiarkan di kawasan rumah untuk makan rumput di bendang padi. kalau ada kes lembu merayau di lebuh raya mungkin disebabkan lembu tersebut tertinggal daripada kumpulannya atau sesat,” jelasnya.
 
Sementara itu, tinjauan di Kampung Asun yang terletak kira-kira 500 hingga satu kilometer dari lebuh raya pula mendapati banyak lembu ternakan dilepaskan di kawasan sawah padi.
 
Lembu-lembu kelihatan bebas meragut rumput di sekitar bendang seperti ketiadaan pemilik dan berisiko untuk memasuki kawasan lebuh raya berikutan jarak yang dekat.
 
Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas daripada penternak di kawasan itu bagaimanapun gagal kerana mereka enggan mengulas lanjut.
 
Sumber: Sinar Harian