TAWAU – Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah
Datuk Jainab Ahmad Ayid mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati
dengan “telekung yang mempunyai corak berbentuk salib”.
Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan
Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) perlu mengambil tindakan
sewajarnya dalam perkara ini demi menjaga kesucian agama Islam.
Sambil menyatakan rasa kecewa kerana telekung itu mula dipasarkan di
negara ini ketika umat Islam bakal mengerjakan ibadah puasa tidak lama
lagi, beliau berkata, sejak kebelakangan ini pelbagai taktik digunakan
oleh pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.
“Janganlah kita ghairah membeli kerana tertarik dengan warna dan gaya
yang cantik tanpa menyedari corak pada telekung itu tidak mengikut
syariah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini ketika diminta
mengulas isu itu.
Beliau juga menasihati peniaga supaya meneliti rekaan telekung yang
dijual supaya tidak mengundang kegusaran dalam kalangan umat Islam di
negara ini.
Telekung mempunyai corak sulaman berbentuk salib di bahagian depan
dari paras dagu hingga kelim bawah telekung yang dipercayai dihasilkan
di negara jiran kini menjadi viral di laman media sosial. – BERNAMA