"Ayaq Jagung Pak Hang!" Di Bazar Ramadhan Taman Wira Viral Seluruh Negara

Jika anak-anak Kedah "merayau" di bazar Ramadhan Taman Wira Mergong, jangan ketawa kuat sangat apabila terjumpa dengan gerai air jagung yang terbaik, sesuai dengan namanya "Ayaq Jagung Pak Hang!".

Itulah keistimewaan bazar Ramadan di Taman Wira Mergong itu yang sememangnya "sempoi" sejak bertahun-tahun sebelum ini, hanya di Kedah!

Benar. Anda tidak tersalah baca. Nama yang digunakan gerai air jagung berkenaan memang "Ayaq Jagung Pak Hang!".

Namun, meskipun namanya begitu, kami harap janganlah mudah berasa kurang senang kerana nama tersebut sebenarnya tiada kena mengena dengan anda.

Nama yang membuat kami tersengih-sengih setiap kali melintas gerai tersebut sebenarnya telah menjadi viral di seluruh negara dan sudah beribu-ribu dikongsi di laman-laman media sosial.

Jadi, Kedahnews.com mengucapkan tahniah kepada pemilik gerai air tersebut kerana berjaya mempopularkan gerainya dari sudut "marketing", kan?

Sebenarnya, menurut maklumat yang diperoleh dari isteri pemilik gerai itu, nama tersebut adalah ilham dari panggilan manja suaminya.

“Haha actually pak hang tu panggilan manja dia la hehe…klu nk p bli make sure sblum kul 6 ye…btw he is my hubby,” tulis Syarifah Safura Aiedrus di laman sosial.

Gerai ini turut menggunakan tagline “Sedap Bagitau Kawan, Tak Sedap Bagitau Pak hang”, kreatif, kan? – Kedahnews.com