Aziz Bari Gesa Polis Siasat Jika Tunku Idris Menghasut

Beberapa hari lalu, satu kenyataan yang dimuat naik Tunku Idris Sultan Ibrahim yang juga Tengku Temenggong Johor menerusi laman Instagramnya menjadi topik hangat yang diperbual di kalangan rakyat Malaysia.

Semuanya gara-gara sepotong ayat yang terkandung dalam perjanjian Johor dan Kerajaan Persekutuan pada 1946 yang berbunyi, “Sekiranya mana-mana daripada syarat-syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia”.

Kenyataan tersebut turut mendapat perhatian pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari yang berpendapat pihak PDRM perlu menyiasat jika putera Johor bertindak menghasut melalui kenyataan berhubung hak Johor keluar daripada Malaysia.

Abdul Aziz Bari
Abdul Aziz Bari
Menurutnya, Tunku Idris tidak mempunyai atau menikmati kekebalan undang-undang seperti sembilan orang Raja-Raja Melayu.

“Dalam apa jua kes, Peguam Negara dan pasukan polis perlu membuat pendirian sama ada putera raja tersebut melanggar undang-undang, khususnya Akta Hasutan 1948.

“Jabatan ini bertanggungjawab untuk menguatkuasa undang-undang dengan adil ke atas semua rakyat; putera raja Johor tidak kebal daripada undang-undang.

“Hanya sembilan orang raja-raja Melayu yang menikmati keistimewaan ini, tertakluk kepada peruntukan mahkamah khas untuk raja-raja,” ujarnya.

Tambahnya, tindakan itu perlu dilakukan dengan segera seperti mana operasi yang dilancarkan ke atas aktivis Sabah dan Sarawak yang sebelum ini didakwa menghasut membawa negeri masing-masing keluar dari persekutuan Malaysia. -Kedahnews.com