Azmin Gagal, Pegawainya Sibuk Bincang "Atas Bawah" Meja

ALOR SETAR - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dikatakan telah gagal membuktikan kebolehannya mentadbir negeri termaju berkenaan dan beliau perlu memberi laluan kepada individu lain yang lebih layak untuk menjawat jawatan tersebut.

Pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, situasi tersebut jelas menunjukkan bahawa Azmin telah mempersia-siakan peluang yang diberikan kepadanya selama ini.

Dakwa pegawai khas Tan Sri Khalid Ibrahim itu, kenyataan pimpinan PKR bahawa Azmin kononnya hebat mentadbir Selangor dan negeri itu makmur di bawah pentadbirannya adalah bersifat ghairah serta mengampu kerana ia dibuat tanpa fakta atau pun hujah.

"Apakah butiran fakta dan hujah yang boleh mereka kemukakan untuk membuktikan kononnya Selangor lebih maju dan makmur setelah Azmin menjadi menteri besar hanya selama sembilan bulan?

"Adakah pada mereka maksud 'kemakmuran' ialah bersenang lenang berbelanja wang rezab yang dikumpul pentadbiran terdahulu?

"Azmin telah mempersiakan peluang yang telah diberikan untuk membuktikan keupayaan beliau selama sembilan bulan.

"Maka tiada jalan lain yang lebih adil dan berfaedah bagi rakyat Selangor melainkan beliau beri laluan kepada yang lebih layak," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Faekah menegaskan bahawa terlalu banyak persoalan boleh dibangkitkan apabila Selangor dikatakan "makmur" di bawah pentadbiran Timbalan Presiden PKR itu termasuklah negeri tersebut yang mencatatkan rekod tertinggi kes denggi, masalah sampah, longkang tersumbat dan projek Lebuhraya Kidex.


"Adakah 'kemakmuran' namanya apabila Selangor kekal menjadi juara negeri tertinggi kes penyakit denggi meskipun habis semua bas sekolah disembur ubat nyamuk?

"Adakah 'kemakmuran' dirasai rakyat apabila kontraktor meraih keuntungan berganda dengan menurap jalan berkali-kali sedang longkang kekal tersumbat dan sampah bertimbunan di bahu jalan dan di taman-taman perumahan?," kata Faekah, membidas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu.

Lebih menarik perhatian, Faekah turut mempertikai tentang isu penstrukturan air di Selangor di mana beliau mendakwa Azmin telah meletakkan beban kegagalan memuktamadkan penstrukturan semula industri air ke atas bahu Khalid.

"Adakah dikatakan 'hebat' apabila menteri besar dengan sewenang-wenangnya meletakkan beban kegagalan memuktamadkan penstrukturan semula industri air ke atas bahu mantan menteri besar?

"Sedangkan beliau hanya perlu melaksanakan terma dan syarat perjanjian utama yang telah dimeterai hasil rundingan kompleks dan holistik selama lima tahun dalam lebih 60 sesi mesyuarat dan perbincangan di antara kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan," bidas Faekah lagi.

Jelasnya mengenai isu tersebut, Khalid telah menyempurnakan aspek paling penting dan rumit dalam proses penstrukturan semula yang melibatkan struktur dan kerangka kewangan setelah menolak perkhidmatan bank pelaburan antarabangsa.

Penolakan itu jelasnya lagi, sekali gus menjimatkan kerajaan Negeri daripada membayar fi dan caj bernilai sekurang-kurangnya berjumlah RM20 juta.


Selain itu, beliau turut mengaitkan "kemakmuran" yang dikecapi bersandarkan kegagalan demi kegagalan Azmin untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan bekalan air bersih sehingga menyebabkan sekitar 600 penduduk Selangor berarak "bersenjatakan" gayung dan baldi ke Bangunan SUK di Shah Alam.

Beliau turut mendakwa pegawai Azmin dilaporkan sibuk berbincang di atas dan di bawah meja dengan pelbagai pihak untuk menjayakan projek perumahan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10 billion setelah Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dtubuhkan.

Mengenai kesudian Khalid untuk kembali menerajui tampuk kerajaan negeri demi memastikan pentadbiran yang telus, berkeupayaan, bertanggungjawab, berintegriti dan bebas rasuah, beliau mengakui tidak terkejut dengan reaksi melatah daripada beberapa pemimpin PKR yang ternyata kurang senang dengan berita itu.

"Seolah-olah siri ulang tayang kepada apa yang berlaku tahun lepas, apabila pemimpin PKR meneruskan "tradisi" mencerca, maki hamun, fitnah dan pembohongan tanpa segan silu atau rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang mulia ini," tegasnya. -Kedahnews.com