"Bahasa Kerbau" Kian Pupus Gara-Gara Pertanian Terlalu Moden?

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Percayakah anda bahawa kerbau adalah binatang yang memahami arahan lisan pengembala atau tuannya? Sesungguhnya ia adalah satu fakta dalam kegiatan persawahan tradisional, tetapi bahasa kerbau kini hampir tidak kedengaran lagi.

Walaupun kerbau tidak boleh bertutur tetapi setiap arahan lisan pesawah atau pengembalanya difahami serta dipatuhi. Suatu ketika dahulu kerbau dan sawah begitu sinonim malah ada yang beranggapan tanpa kerbau, sawah akan mati atau tidak dapat dikerjakan.

Tugas utama kerbau dalam kegiatan persawahan termasuk menarik pembajak dan beberapa peralatan lain seperti penyisir dan tenggiling. Kerbau juga digunakan bagi menarik batang pisang untuk kerja-kerja membadai atau meratakan tapak semaian padi.

Pastinya kesemua tugas itu tidak mampu dilaksanakan secara mudah dengan hanya bergantung kepada kudrat manusia.


BAHASA KERBAU

Kerana sinonimnya kerbau dan sawah, para pesawah menjadikan binatang itu sebagai rakan setugas dan mempelajari bahasa kerbau sebagai kaedah berkomunikasi.

Antara sebutan bahasa kerbau yang sering digunakan ialah “Ha’ihh” bagi menyuruh kerbau berjalan ke hadapan sambil menarik bajak, penyisir, tenggiling dan yang lain.

Untuk mengarahkan binatang itu membelok ke kanan disebut “paling chah” atau “chah nuu” dan jika disebut “paling sok” kerbau akan membelok ke kiri.

Bagi memberhentikan pergerakan kerbau, pesawah akan menyebut “diam” dan dengan segera binatang itu berhenti. Jika pesawah mahu kerbau itu berjalan secara berundur, beliau perlu menyebut perkataan “serot atau seghoot” dan binatang itu akan berundur.

Arahan menggunakan bahasa kerbau itu perlu kuat dan lantang supaya ia didengari dengan jelas oleh binatang peliharaan itu. Ada dalam kalangan petani yang membawa ranting kayu bagi memukul bahagian punggung kerbau jika binatang itu bersikap degil dan enggan menurut arahan.


BAHASA KERBAU IBARAT KAWALAN GEAR

Bekas seorang pesawah tradisional, Dahaman Hamid, 73 tahun, berkata, bahasa kerbau ibarat kawalan gear bagi jentera pembajak.

Walaupun bahasanya agak terbatas namun seperti jentera pembajak, arahan lisan itu lebih bertumpu kepada pergerakan hadapan, undur, membelok dan berhenti.

Dahaman yang menetap di Yan, Kedah berkata, beliau mempelajari bahasa kerbau daripada para pesawah lain dan tidak menghadapi sebarang masalah semasa mengendalikan binatang itu.

Mungkin ada lagi sebutan lain tetapi tidak digunakan kerana biasanya kerbau hanya digunakan kudratnya untuk membajak dan bahasa arahan itu adalah memadai. Bahasa kerbau juga bukan sahaja digunakan oleh para pesawah di negara ini malah di Thailand.

Walaupun peranan kerbau begitu penting dalam kerja-kerja di sawah, namun kini binatang perkasa itu hampir tidak kelihatan lagi ketika industri padi memasuki fasa pemodenan sejak berdekad lepas.

Tugas penting kerbau dalam kegiatan pembajakan sejak sekian lama kini diambil alih oleh jentera pembajak menjadikan tugas pesawah semakin mudah. Kerbau sudah direhatkan sepenuhnya di pinggir sawah dan binatang itu hanya menyaksikan jentera pembajak yang lebih pantas bergerak itu sambil meratah tanah.


PENGGUNAAN JENTERA PEMBAJAK

Mohd Jan Mat Rani, 59 tahun, seorang pesawah di Perlis berkata, beliau pernah mengendalikan jentera pembajak ketika ia mula diperkenalkan lebih 40 tahun lepas.

Ketika itu, jentera pembajak beroda dua yang digunakan oleh pesawah di Perlis sering dikenali sebagai “kerbau buta”. Jentera itu dinamakan demikian mungkin disebabkan kegiatan membajak begitu sinonim dengan kerbau.

Mungkin juga kebanyakan jentera pembajak yang digunakan ketika itu berjenama “Kubota” lalu disebut sebagai kerbau buta.

Bagaimanapun kehadiran jentera itu menyebabkan bahasa kerbau semakin hilang sebagaimana lenyapnya kerbau akibat bermulanya era persawahan moden.

Ketika kerbau tidak lagi diperlukan untuk kerja persawahan, kebanyakan binatang itu dijual dan ada yang disembelih. Walaupun peranan kerbau dipinggirkan namun khidmat bakti binatang itu tetap terlakar dalam sejarah persawahan tradisional.


PENARIK ANOK

Selain kegiatan pembajakan, kerbau juga berperanan dalam tugas-tugas lain termasuk menjadi penarik anok, sejenis alat yang digunakan bagi mengangkut padi dan barangan lain.

Biasanya anok tidak mempunyai roda tetapi yang mempunyai roda lebih dikenali sebagai kereta kerbau kerana ia juga ditarik oleh binatang itu. Kereta kerbau bukan sahaja membawa penumpang tetapi juga membawa barangan.

Kudrat kerbau juga digunakan bagi kegiatan memerah tebu menggunakan mesin yang diperbuat daripada kayu. Kerbau akan menarik pemegang alat pemerah tebu dengan berjalan mengelilingi alat berkenaan sehingga himpunan tebu itu dapat diperah.

Suatu ketika dahulu, kegiatan menunggang kerbau juga adalah perkara biasa di kawasan kampung kerana binatang itu lasak dan tidak memerlukan laluan yang sempurna untuk bergerak.

Bagaimanapun penunggang kerbau perlu terlatih mengimbangi badannya supaya tidak tergelincir dan jatuh ketika kerbau bergerak terutama ketika melalui kawasan parit.


LAGA KERBAU

Pada zaman silam juga, kerbau pernah digunakan bagi tujuan hiburan termasuk kegiatan laga kerbau selepas musim menuai.

Acara laga kerbau berlangsung di gelanggang khas yang diwujudkan di kawasan kampung dan ia bagaikan pesta apabila orang ramai berkumpul bagi menyaksikan kerbau yang bakal menjadi juara.

Bagi negeri Perlis, acara laga kerbau turut diiringi dengan persembahan Gendang Perlis yang dimainkan di atas tempat khas di atas pokok di pinggir gelanggang. Persembahan Gendang Perlis biasanya membabitkan dua gendang tanpa serunai dan dimainkan secara berterusan sehingga acara laga kerbau berakhir.

Sesungguhnya kerbau berperanan luas dalam masyarakat suatu ketika dahulu namun kehebatan silamnya kian dilupakan.

Yang pasti peranan kerbau tetap terukir dalam lakaran sejarah pertanian tradisional walaupun kelibatnya jarang kelihatan. - BERNAMA