Balai Cerap Langkawi Dapat Pengiktirafan Dunia Pantau Ancaman Asteroid

ALOR SETAR – Balai cerapan Observatori Negara Langkawi (ONL) di bawah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) untuk memantau ancaman asteroid ke atas bumi.

Angkasa dalam satu kenyataan media memberitahu, pengiktirafan itu diberi melalui Minor Planet Center (MPC) dengan penganugerahan kod observatori, O43.

"ONL merupakan balai cerap pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan ini. Kod observatori ini diberikan kepada balai cerap yang terbukti mampu melakukan pencerapan objek Near Earth Object (NEO) khususnya asteroid di ruang angkasa lepas.

"Susulan daripada pengiktirafan tersebut, ONL kini diiktiraf mampu membuat pencerapan asteroid dan melaporkan kedudukan terkini sesuatu asteroid kepada MPC.

"Pencerapan berterusan asteroid ini adalah perlu bagi mengesan jika terdapat sebarang perubahan pada ciri-ciri sesuatu asteroid yang mungkin mampu memberi ancaman kepada Bumi,” kata kenyataan itu semalam.

Angkasa menjelaskan, kebanyakan asteroid mengorbit matahari sama seperti planet-planet dalam sistem suria dengan kedudukan antara planet Marikh dan Musytari.

Namun, kata kenyataan itu, terdapat juga asteroid yang mempunyai orbit yang unik dan mampu melintasi orbit Bumi dengan dekat.

“Ini menyebabkan ia dianggap berpotensi memberi ancaman kepada kehidupan di Bumi,” kata kenyataan itu lagi.

Angkasa bagaimanapun menjelaskan, setakat hari ini, bilangan objek dengan potensi sedemikian adalah amat kecil.

ONL merupakan salah satu fasiliti di bawah Angkasa yang dibina pada tahun 2006 untuk membantu mana-mana institusi yang berminat dalam menjalankan kajian dan pencerapan astronomi.

Ia dilengkapi dengan teleskop bersaiz 20 inci sebagai teleskop utama dan juga satu lagi balai cerap menempatkan sistem pencerapan khusus untuk matahari.-Kedahnews.com