PETALING JAYA – Perjalanan orang ramai untuk balik ke kampung
menggunakan bas ekspres sempena sambutan Aidilfitri bulan depan mungkin
terjejas berikuan pelbagai kesulitan yang dihadapi pengusaha
perkhidmatan itu.
Ini berikutan adanya pengusaha bas yang mungkin tidak dapat
menyediakan perkhidmatan bas tambahan bagi menampung permintaan orang
ramai pada musim perayaan ini.
Malah, keadaan bertambah buruk berikutan kemelut tambang bas ekspres yang masih belum bernoktah sehingga hari ini.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk
Mohamad Ashfar Ali berkata, beliau menerima rungutan daripada pengusaha
yang terhimpit dengan kesan kenaikan kos operasi terutamanya selepas
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan April lalu.
“Pengusaha bas dapat banyak tekanan kerana GST, mereka kena tanggung
kos enam peratus yang dikenakan terhadap alat ganti bas dan beberapa
barang lain yang dibeli untuk operasi harian. Namun mereka tak boleh
kenakan GST atas tiket.
“Saya khuatir nanti pengusaha tak sediakan perkhidmatan bas tambahan
pada Hari Raya Aidilfitri kerana kos operasi meningkat. Lagipun
pengusaha kena minta pekerja untuk bekerja pada cuti umum dan pengusaha
perlu membayar gaji berganda,” katanya ketika dihubungi mStar Online
pada Selasa.
Mohamad Ashfar berkata, kebimbangan itu timbul selepas pengusaha
memaklumkan mereka tidak meraih keuntungan sekiranya bas tambahan
disediakan pada musim perayaan nanti.
“Tiket dijual pada harga sama tapi kos operasi meningkat. Jadi pengusaha dapati mereka tanggung kerugian kerana perjalanan menjadi sehala, bas pula akan kosong untuk perjalanan balik semula ke Kuala Lumpur,” katanya.
Namun, beliau berkata, perkhidmatan bas untuk laluan sedia ada tetap berjalan seperti biasa.
“Perkhidmatan sedia ada akan berjalan seperti biasa, kita kena ikut
undang-undang. Namun perkhidmatan bas tambahan bergantung kepada setiap
pengusaha. Saya pun tak boleh nak paksa kalau mereka cakap asyik
tanggung kerugian,” katanya.
Justeru, beliau mendesak kerajaan melaksanakan kadar tambang baharu yang disyorkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan serta-merta bagi mengelak penumpang berdepan kesulitan untuk balik ke kampung halaman.
“Saya minta kerajaan ambil kira masalah yang dihadapi pengusaha.
Mereka tertekan lebih-lebih lagi apabila GST dilaksanakan dan harga
minyak naik awal bulan ini,” katanya.
Terdahulu, SPAD mengumumkan tambang bas ekspres akan naik 22.6
peratus bermula 15 Mei lalu berikutan berlakunya peningkatan kos
termasuk penyelenggaraan dan insurans.
Menurut Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, penetapan terpaksa
dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang bas ekspres dibuat
pada 2009.
Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11.
Namun, Kabinet memutuskan kenaikan kadar tambang baharu untuk bas
ekspres ditangguhkan kerana berpendapat ianya tidak sesuai diumumkan
dalam keadaan sekarang. – mStar