Ibu kucing dan anak-anaknya... |
Mungkin benar bahawa naluri ibu yang secara lumrahnya mengasihi anak-anak dan sifat itu sememangnya menjangkaui sempadan antara makhluk, sama ada melibatkan manusia mahupun haiwan.
Sekeping foto yang dimuat naik di laman Facebook, ramai pengguna yang tersentuh melihat ketabahan seekor ibu kucing yang sanggup menyusukan anak-anaknya walaupun dalam keadaan berdarah.
Menerusi pengamatan Kedahnews.com, laman Facebook ‘A Fortress of Fur’ menerima banyak komen dari netizen yang kagum melihat kasih sayang ibu kucing tersebut kepada anak-anaknya yang masih kecil.
Menurut pengendali akaun Facebook itu, ibu kucing itu telah dilanggar oleh sebuah kenderaan namun dia tetap pulang dalam keadaan parah untuk memberi susu kepada empat ekor anaknya.
Selain itu, ada segelintir pengguna yang risau dengan keadaan kucing itu dan nasib yang bakal menimpa anak-anaknya andai ibu kucing berkenaan tidak dapat diselamatkan.
Namun menurut laporan terbaru, ibu kucing terbabit difahamkan telah berjaya dirawat dan hampir pulih dari kecederaan yang dialaminya.
Mengikut laporan dari laman Twitter @HaiwanJalanan, walaupun cedera parah, mengalami patah tulang dan kecederaan mata yang serius namun ibu kucing tersebut berjaya diselamatkan.
Begitulah kisah yang menunjukkan satu sudut sisi persamaan antara manusia dan haiwan di mana kedua-dua makhluk Allah itu dikurniakan naluri keibuan yang sama, perasaan cinta dan sayang, walaupun manusia diberikan kelebihan akal.
Sayangnya, segelintir individu di zaman serba moden yang canggih ini ada yang sanggup memilih untuk meletakkan diri mereka lebih rendah martabatnya dari haiwan apabila sanggup membuang malah membunuh bayi sendiri, kan? -Kedahnews.com