Bapa OKU Terima Anugerah Khas Hari Bapa Di Kedah

Dari kanan, Mohd Hussin, Konjoramah dan A Hamid bersama hadiah masing-masing sempena Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan di Amanjaya Mall semalam.
SUNGAI PETANI - Sepasang suami isteri berstatus orang kurang upaya (OKU) yang turut mempunyai lima anak OKU teruja apabila ketua keluarga itu dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Khas Hari Bapa, semalam.

Mohd Hussin Ooi Abdullah, 51, yang juga merupakan mualaf, cacat di kaki, begitu juga dengan lima daripada enam anaknya yang lain turut mempunyai masalah sama, ditemani isteri, Mazlina Mansor, 48, cacat di tangan, yang hanya mempunyai pergelangan tangan menerima anugerah itu.

Mohd Hussin dari Desa Keda Bukit Tukang Jusoh, Kota Kuala Muda berkata, kekurangan diri yang dihadapi tidak menghalangnya untuk mendidik anak-anak sehingga mereka berjaya ke peringkat lebih tinggi.

“Biarpun anak-anak berhadapan kekurangan, sejak kecil kami mendidik mereka tanpa mereka rasa rendah diri malah perlu bersaing dengan masyarakat luar bahawa mereka juga boleh berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, anak sulung, Muaz Hazrin, 24, kini sedang berkhidmat sebagai Inspektor Kualiti di kilang pembuatan kereta di Perodua Rawang.

Manakala, Muaz Izzudin, 20, kini sedang berada di semester ketiga kursus diploma di Renaco Education Kertih, Terengganu dan Nur Syazana, 18, juga dalam semester ketiga kursus diploma di Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.

Selebihnya, Nur Safarina Safawati, 10, dan Nur Izzah Kazimah, 7, masih mengikuti pengajian di peringkat sekolah rendah.

Menurut Mohd Hussain, satu-satunya anak yang dilahirkan normal, Muiz Hazmin, 23, merupakan lulusan Universiti Sultan Zainal Abidin dan kini bekerja sebagai jururawat di Unit Pembedahan Hospital Besar Pulau Pinang.

Mohd Hussin turut berpesan kepada pasangan suami isteri yang mempunyai anak OKU supaya memberi perhatian dan kepercayaan kepada golongan itu bagi memenuhi jaminan masa depan mereka yang sebenarnya boleh berjaya seperti insan normal.

Anugerah disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sambil disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Chew Mei Fun.

Selain Mohd Hussin, dua lagi penerima anugerah khas Hari Bapa turut dihargai termasuk A Hamid Dahri, 59, cacat pada kaki kiri dan Konjoramah Krishnnan, 62, yang cacat kaki kiri hingga paras paha.

A Hamid yang merupakan Bekas Penolong Setiausaha Kerja Belia 4B Malaysia mempunyai 11 anak termasuk empat anak tiri aktif dalam aktivis sosial selain berjaya mendidik anak menjadi insan yang berjaya dan ada antaranya sudah memegang ijazah.

Manakala, Konjoramah, yang merupakan guru komputer mempunyai dua anak kini sedang menuntut di Quest University Ipoh, Perak dan seorang lagi kelulusan Aimst University, Kedah.

Sumber: Sinar Harian